Ahmad Azri (tengah) menyampaikan APC kepada salah seorang penerima di Dewan Tan Sri Dato’ Lim Guan Teik, SJKC Puay Chai 2.
Ahmad Azri (tengah) menyampaikan APC kepada salah seorang penerima di Dewan Tan Sri Dato’ Lim Guan Teik, SJKC Puay Chai 2.

PPD Petaling Utama raikan 427 penerima APC

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
17 Jul 2024 12:44pm
A
A
A

Seramai 427 penerima telah diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama Tahun 2023 di Dewan Tan Sri Dato’ Lim Guan Teik, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai 2, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua penerima APC serta menyeru mereka terus berusaha bagi memartabatkan bidang perguruan di samping memastikan kemenjadian murid menjadi agenda utama yang harus dititikberatkan.

Katanya, MBI sentiasa komited dalam usaha memacu bidang pendidikan khususnya di Selangor bagi memastikan murid-murid mendapat akses pendidikan yang berkualiti.

“Pada ketika ini, MBI aktif membantu bidang pendidikan di daerah Petaling dengan menjadi rakan strategik kepada PPD Petaling Utama di bawah kepimpinan Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Petaling Utama, Haniza Mohd Jabar @ Ibrahim.

Ahmad Azri
Ahmad Azri

“Antara bentuk bantuan yang disalurkan adalah pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor, bantuan baik pulih kerosakan infrastruktur sekolah, bantuan naik taraf bilik-bilik khas bagi sekolah-sekolah yang memerlukan, penajaan bagi pelaksanaan program-program pendidikan dan banyak lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berkenaan sekali gus menyampaikan anugerah kepada penerima APC.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

Sebelum itu, Majlis APC bagi PPD Petaling Utama bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada individu yang telah banyak mencurahkan bakti bagi memangkin keberhasilan pendidikan serta merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok