Secara keseluruhannya, prestasi GPMP bagi keenam-enam mata pelajaran PTRS menunjukkan peningkatan prestasi pada 2023 berbanding 2022.
Secara keseluruhannya, prestasi GPMP bagi keenam-enam mata pelajaran PTRS menunjukkan peningkatan prestasi pada 2023 berbanding 2022.

PTRS bantu pelajar SPM Selangor catat pencapaian GPN lebih baik

MOHD AZLIM ZAINURYMOHD AZLIM ZAINURY
01 Jun 2024 11:37pm
A
A
A

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2023 menjadi antara faktor keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.67, berbanding 4.80 pada 2022.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, tahun 2023 turut merekodkan peratus calon layak menerima sijil SPM meningkat iaitu seramai 58,082 calon atau 91.14 peratus berbanding 56,402 calon atau 89.25 peratus pada 2022.

Menurut kenyataan itu, prestasi peratus lulus bagi empat mata pelajaran PTRS juga menunjukkan peningkatan pada 2023 iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik.

"Peratus lulus Sejarah tertinggi antara empat mata pelajaran iaitu peningkatan 2.03 peratus apabila sebanyak 58,487 calon (91.99 peratus) lulus, berbanding 56,739 calon (89.96 peratus) lulus pada 2022.

"Secara keseluruhannya, prestasi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi keenam-enam mata pelajaran PTRS menunjukkan peningkatan prestasi pada 2023 berbanding 2022," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Pada Selasa, MBI menerima surat penghargaan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Dr Jafri Abu yang memaklumkan keputusan SPM 2023 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.67, berbanding 4.80 pada 2022.

"MBI turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas kejayaan calon SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang terutama calon yang terlibat dengan PTRS," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, PTRS 2023 dikoordinasi dan diurus Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Selangor dan berada di bawah salah satu teras tanggungjawab sosial korporat, iaitu teras pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Bermula pada tahun ini, PTRS melibatkan pelajar Tingkatan Empat dan turut menyentuh program intervensi masalah literasi dalam kalangan murid sekolah rendah," ujarnya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, melalui peruntukan sebanyak RM10 juta, MBI Selangor yakin bahawa sinergi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dapat memperkasakan dan memartabatkan agenda pendidikan di Selangor sejajar dengan visi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok