240825134_2720946031535954_8356548840856884664_n
240825134_2720946031535954_8356548840856884664_n

Radzi kekal teraju Kementerian Pendidikan

Nor Azma  Muhamat Laila
27 Aug 2021 01:36pm
A
A
A

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kekal sebagai Menteri Kanan Pendidikan manakala Senator Datuk Dr Mah Hang Soon juga dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Pendidikan I manakala Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri II.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan Datuk Dr Noraini Ahmad juga dilantik semula sebagai Menteri Pengajian Tinggi manakala Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad pula dipilih sebagai Timbalan Menteri.

Dalam pengumuman khasnya pada jam 11 pagi tadi, Perdana Menteri berkata, senarai Kabinet itu dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini, mampu membantu negara memulihkan semula ekonomi dengan menyokong usahawan, memudahcarakan perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meyakinkan golongan pelabur.

Kabinet itu juga diharap dapat memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.

Sementara itu, Dr Mohd Radzi dalam Facebooknya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan yang diberikan untuk beliau kembali berkhidmat di Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut beliau, amanah yang diberikan akan dijunjung setulus hati demi masa depan generasi pewaris negara.

"Hasrat Perdana Menteri untuk melihat setiap kementerian menjadi kementerian berprestasi tinggi akan diikhtiarkan sebaiknya.

"Penekanan kepada tiga konsep utama di KPM, iaitu K-Kualiti, P-Produktiviti dan M-Modenisasi akan kami teruskan dalam usaha mengukuhkan KPM sebagai sebuah kementerian berprestasi tinggi," kata beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok