4c01d5ce-d1c8-41bf-ae6a-01a5ac391b50
4c01d5ce-d1c8-41bf-ae6a-01a5ac391b50

Rahsia raih Anugerah Pengurusan Pengawas Terbaik peringkat kebangsaan, ini kata Cikgu Mawar!

Roshlawaty Md Raieh
22 Dec 2021 12:04am
A
A
A

Pengawas sekolah yang dilantik berperanan sebagai pembantu dan pelengkap kepada usaha membentuk kemenjadian murid dari sudut disiplin dan sahsiah terpuji.

Selain itu, mereka juga berfungsi untuk membantu guru dan pihak sekolah memantau serta menguatkuasakan peraturan dan undang-undang agar sekolah sentiasa dalam keadaan terkawal dalam semua aspek.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, peranan dan fungsi pengawas telah digarap dengan sebaik mungkin agar murid-murid ini mampu memainkan peranan mereka dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah.

Malah, barisan guru penasihat pengawas di sekolah ini juga telah mengambil pelbagai pendekatan agar semua pengawas ini relevan dan kompeten dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada diri masing-masing.

Menurut Ketua Guru Penasihat Pengawas, Cikgu Mawar Abd Rahim, seramai lapan guru sekolah ini telah merangka pelan dan dasar untuk barisan pengawas mencapai tahap kompetensi yang telah ditetapkan.

“Pengurusan pengawas di sekolah ini telah menetapkan hala tuju untuk setiap murid yang dilantik sebagai pengawas. Mereka dibimbing dan diberikan kursus berkaitan bidang tugasan mereka.

“Malah, mereka juga berperanan sebagai ikon atau idola yang membawa pengaruh positif kepada rakan sekolah kerana gerak geri atau perbuatan mereka sama ada cara percakapan, cara berpakaian, cara belajar dan apa sahaja tingkah laku menjadi ikutan murid lain,” katanya dengan menambah antara aktiviti yang dirangka untuk pengawas sekolah ini ialah kursus pembinaan sahsiah, program pengantarabangsaan, ‘team building’ dan aktiviti-aktiviti kumpulan kecil yang dikendalikan oleh guru-guru dari SK Dato’ Wan Kemara.

Tambah Cikgu Mawar, kumpulan guru mengakui bahawa banyak impak positif dapat dilihat dalam diri pengawas melalui penglibatan mereka dalam aktiviti yang dianjurkan.

“Disiplin murid sekolah ini semakin hari semakin meningkat dan ini bermakna aktiviti mahupun program yang kita lakukan, menjadi.

“Justeru, aktiviti untuk melatih dan mendidik pengawas di sekolah ini akan terus ditambah baik supaya ilmu kepimpinan yang diterapkan dapat dipraktikkan oleh mereka,” tuturnya.

Dek kecaknaan dan kepelbagaian program yang diadakan itu, maka tidak hairanlah pengawas sekolah berkenaan telah meraih Anugerah Pengurusan Pengawas Terbaik pada peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Pengawas SK Dato’ Wan Kemara, NurAshiela Aida Mat Uda berkata, mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang sangat bermanfaat oleh barisan guru pengawas sekolah ini.

“Antaranya, kami diberi peluang dan dilantik sebagai pemudah cara kepada semua pelawat yang datang ke sekolah ini.

“Misalnya menguruskan dan mengendalikan lawatan penanda aras daripada pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah lain.

“Dengan adanya aktiviti sebegini, keyakinan diri kami sebagai seorang pengawas yang berkaliber akan lebih terserlah,” katanya.

Artikel berkaitan

Doa ketika menghadapi peperiksaan, ibu bapa dan pelajar boleh amalkan ini

“Mereka wira negara, bukan pengasuh anak kita!”- Guru bantah cadangan pesara tentera jadi warden

Beza antara guru disiplin dengan guru pengawas, pelajar dan ibu bapa boleh ambil maklum


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok