655814
655814

“Mereka wira negara, bukan pengasuh anak kita!”- Guru bantah cadangan pesara tentera jadi warden

Mohd Khairi Mohamad Yusri
16 Dec 2021 10:35am
A
A
A

Setelah tularnya video buli yang melibatkan pelajar-pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di media sosial, suara-suara yang menuntut agar keselamatan pelajar ketika di asrama dipertingkatkan semakin kuat.

Antara cadangan yang diutarakan adalah saranan agar kerajaan mewujudkan jawatan warden asrama secara sepenuh masa memandangkan tugas warden ketika ini terpaksa digalas oleh guru yang sememangnya sudah terbeban dengan tugas hakikinya.

Namun, ada suara lain yang menyarankan agar jawatan tersebut diisi oleh pesara-pesara tentera. Sekali imbas, mungkin cadangan tersebut adalah sangat bagus, melihatkan pengalaman luas mereka dalam bidang yang melibatkan disiplin.

Bagaimanapun, cadangan tersebut sebenarnya akan mendatangkan kesan negatif untuk jangka masa yang panjang, iaitu memberi gambaran seolah-olah golongan tentera hanya layak menjadi ‘jaga’ sahaja, sedangkan mereka ini sudah banyak berkorban untuk negara.

BACA JUGA: Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022 UUM esok! Mohon calon bertanding bersaing secara sihat dan elakkan provokasi

BACA JUGA: Pelajar perakaunan terbaik. Alumni MSU terima wang tunai RM500 dan biasiswa pengajian di ICAEW

GPSBestari tertarik dengan satu perkongsian oleh seorang guru, Cikgu Emmet Menulis di Facebook, yang berkongsi ketidak wajaran cadangan tersebut dan apakah yang sebenarnya perlu dititik beratkan bagi menangani masalah disiplin pelajar ketika di asrama.

Ikuti hantaran tersebut di bawah.

**

KOMANDO DAN TENTERA WIRA NEGARA BUKAN PENGASUH ANAK ANAK KITA.

Pelajar membuli dan tiada disiplin? Suruh bekas polis atau bekas askar jadi warden. Selesai. Noktah.

Betul ke selesai? Dulu ada anak nakal, solusinya masuk je ke tahfiz. Penyudahnya ada kes buli dan amang seksual di tahfiz. Jadi salah siapa? Takkan nak salahkan agama pulak.

Sebagai orang yang berusia ni, saya tidak bersetuju dengan cadangan BEKAS TENTERA DAN POLIS jadi warden. Saya tak kiralah kalau luar negara ada buat benda ni atau tidak.

Tapi sebagai seorang guru, bapa dan orang awam saya TAK SETUJU bekas polis atau komando jadi warden sekolah.

Pertama kejadian buli ni bukan sebab disiplin semata-mata. Tapi sebab didikan awal-awal dari rumah. Kalau ada ibu bapa yang anaknya nakal dan bergaduh dengan anak jiran, kita sebagai ibu bapa memberi respon.

”Alaaa...biasala budak budak, kena tumbok sikit je... Itu pun nak bising.” Itulah punca sebenarnya.

Kalau kita nampak anak kita bawa barang atau alat tulis bukan miliknya...Tapi kita tak tanya... Dari kamu dapat benda ini? Itulah pemula puncanya.

Kalau kita beranggapan bahawa anak kita akan masuk sekolah nanti semua benda akan di asuh oleh cikgu-cikgu termasuk membina sahsiah, jadi kita ibu bapa lepas tangan. Itulah puncanya.

Tahukah sahabat bahawa seorang tentera atau polis nak memasuki fasa persaraan mereka akan mengikuti program transisi untuk menyesuaikan dan adaptasi bersama orang awam.

Bukan macam pencen kakitangan awam yang lain. Pihak Kementah akan memastikan pegawai tenteranya stabil dari emosi baru boleh keluar menjadi orang awam.

IKUTI GPSBestari di Twitter dan Instagram

Sebab itu ramai anggota tentera yang bersara memilih bidang yang ada kaitan dengan keselamatan dan ketenteraan juga selepas bersara. Ramai yang menjadi pengawal keselamatan di agensi keselamatan serta menjadi pegawai keselamatan di unit kawalan di universiti awam atau menjadi pegawai pasukan simpanan di IPTA seperti ROTU dan Kesatria.

Mereka mahir dalam bidang taktikal dan keselamatan.

Bayangkan kalau orang orang yang hebat ini disuruh jadi warden sekolah. Mereka akan melaksanakan kawalan military secara maksimum. Silap silap asrama sekolah akan jadi penjara bagi pelajar. Adakah ini yang kita mahukan?

Sedangkan apa yang berlaku kepada Allahyarham Zulfarhan di UPNM juga berlaku di persekitaran militari yang penuh dengan disiplin.

Jadi mencadangkan BEKAS KOMANDO, TENTERA DAN POLIS menjadi warden tidaklah wajar.

Mereka sudah bersekang mata, tenaga, nyawa menjaga RAKYAT MALAYSIA tiba tiba selepas pencen, kita nak mereka jaga anak anak kita di asrama pula. Nonsense.

Saya cadangkan untuk mengatasi isu buli dan disiplin di sekolah atau asrama ialah KPM kena semak kembali perjawatan warden di sekolah.

Kalau boleh wujudkan jawatan ini sebagai jawatan hakiki yang berasingan dari guru. Maksudnya warden adalah warden. Bukan guru yang jadi warden.

Andai kata guru juga terpaksa jadi warden, pastikan ada insentif yang diberikan. Jadual mengajar kena minimal. Ini tidak. Siang mengajar, malam jadi warden pun kena buat prep juga...stres guru warden.

Pembantu Pengurusan Murid (PPM) juga boleh dijadikan warden selain meminta guru. Insentif khas perlulah berbaloi. Ini kerana warden sangat berat tanggungjawabnya.

Kalau tak isu buli...isu keselamatan lain pun perlu diambil kira. Takut ada kebakaran atau sakit demam semua jadi tanggungjawab warden.

Yang paling PENTING konsep sekolah berasrama hendaklah diterapkan KONSEP KEKELUARGAAN. Konsep ini banyak dibuat di sekolah asrama harian di Sarawak dan Sabah.

Bila murid Tahun 1 masuk asrama. Murid senior Tahun 2 sampai 6 akan jadi abang kakak yang menjaga mereka. Tiada isu ragging dan dera. Mereka menjaga adik-adik yang lebih muda dengan rasa kekeluargaan. Tambahan lagi mereka datang dari kampung dan rumah panjang yang sama atau berhampiran. Jadi mereka saling kenal mengenali.

Sekolah kena wujudkan iklim kekeluargaan di asrama asrama. Majlis taaruf dan suai kenal hendaklah dalam suasana silaturahim. Ketegasan Unit HEM dalam melaksanakan program anti buli hendaklah diperkasakan. Berapa banyak sekolah buat lawatan ke balai polis, kem tentera dan buat boot camp di sana? Kalau nak tengok cara tentera dan polis disiplinkan murid boleh je buat boot camp di kem tentera.

Pihak sekolah juga HENDAKLAH cakna dan telus dalam laporan ibu bapa jika ada kes buli berlaku. Jangan disapu dibawah tikar dan diharap isu ini diselesaikan secara luaran. Ini takkan menghentikan BULI! Sekolah kena tegas dan pastikan apa yang berlaku takkan berulang lagi. Bila isu ini tular di media sosial, Menteri pula disalahkan netizen.

Kesimpulannya saya berharap agar KPM memikirkan cara lebih rasional untuk memantapkan disiplin pelajar di sekolah terutamanya mengatasi isu buli. Sekolah, guru guru dan ibu bapa kena rapatkan saf kerjasama.

Hormatilah pasukan keselamatan kita. Mereka dah banyak berkorban, lepas pencen berilah peluang untuk menikmati hidup. Bukan suruh meronda menjaga anak- anak kita di asrama, nanti kena penampar jepun bekas komando. Kita pulak sibuk nak menyaman...isu tetap tak selesai...

Cikgu Emmet anak Sarjan Osman.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan