Tangkap layar situasi bapa mengamuk di sebuah sekolah agama yang tular di media sosial.
Tangkap layar situasi bapa mengamuk di sebuah sekolah agama yang tular di media sosial.

‘Rambut panjang tak masuk neraka’, tindakan bapa marah guru potong rambut anaknya dikecam

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
03 Jul 2024 01:01pm
A
A
A

Sudah menjadi satu tanggungjawab buat semua murid sekolah di seluruh negara untuk mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan sama ada dari sudut pemakaian serta penampilan fizikal agar sentiasa kelihatan kemas dan berdisiplin.

Ini termasuklah dengan peraturan yang melibatkan fesyen rambut khususnya murid lelaki dengan merujuk surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bilangan 2/1976 yang memaparkan untuk tidak berambut panjang.

Meskipun sudah dinyatakan peraturan tersebut namun masih terdapat beberapa murid yang bertindak melanggarnya malah lebih dahsyat lagi memilih untuk memotong rambut dengan fesyen berlebihan.

Lebih memeranjatkan, baru-baru ini kita dikejutkan dengan penularan satu video di media sosial yang memaparkan tindakan seorang bapa menengking dan memarahi seorang guru sekolah agama dipercayai memotong rambut anak lelakinya.

Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV), bapa berkenaan membuat tindakan sebegitu di perkarangan sekolah dan seolah-olah tidak beradab dalam menegur seseorang.

Difahamkan juga, guru sekolah agama itu berbuat demikian kerana murid terbabit melanggar peraturan sekolah dengan menyimpan rambut panjang.

“Yang kau (guru) usik ini bukan anak binatang tahu? Anak aku, kau faham?”

“Rambut panjang tak masuk neraka, kau tahu tak? Rasulullah rambut macam mana? Aku tanya kau,” tengking si bapa seperti dipetik dalam video yang tular sejak Selasa.

Meninjau ke ruangan komen, Sinar Bestari mendapat rata-ratanya mengecam tindakan bapa berkenaan kerana tidak peka akan peraturan sekolah yang melarang murid berambut panjang serta cara pemotongan yang ditetapkan.

Antara komen yang sempat dipetik adalah:

“Bapa budak itu tidak tahu peraturan sekolah? Anak dia baru pertama kali sekolahkah? Berzaman sekolah larang rambut pelajar panjang. Datang serang macam ini seperti buka aib sendiri,” tulis Ruhaizat.

“Kalau anak kita kena gunting rambut sebab panjang kita sebagai ibu bapa kena faham. Sekolah ada undang-undang sebab nak bagi anak berdisiplin. Semoga jadi iktibar untuk kita,” tulis Nor Azian Iskandar.

“Harap pihak sekolah ambil tindakan undang-undang pada bapa pelajar tersebut supaya dia tahu undang-udang yang telah ditetapkan,” tulis Nor Azura.

Justeru, Sinar Bestari terpanggil untuk berkongsi panduan pemotongan rambut buat murid sekolah seperti yang telah dilampirkan di dalam peraturan KPM.

Peraturan rambut murid lelaki

Semua murid lelaki tidak boleh berambut panjang. Istilah rambut panjang adalah seperti berikut:

Di belakang: Rambut jatuh melebihi garisan di bawah cuping dua telinga.

Di depan: Rambut menutupi garisan tengah dahi

Di sebelah: Rambut menutupi kedua-dua telinga atau sebahagian daripadanya dan ‘sideburn’ melebihi garisan tengah hidung.

Di atas: Rambut melebihi daripada 6” panjang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok