Reformasi pendidikan negara telah bermula!
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian cabaran yang dihadapi dalam memastikan sektor pendidikan negara terus relevan pada masa kini dan akan datang.
Ia dibuktikan menerusi pelaksanaan tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM pada Disember 2022, demikian catatan KPM di laman Facebooknya pada Rabu.
Tulis KPM, tumpuan utama mereka diberi kepada usaha menambah baik komunikasi dengan semua pemegang taruh, penekanan kepada aspek karamah insaniah, kemiskinan berbilang dimensi, keciciran murid dan masalah literasi, kesejahteraan guru, tambah baik infrastruktur institusi pendidikan serta pemerkasaan keupayaan digital.
"Sebagai contoh, usaha menangani isu keciciran murid dilaksanakan peringkat awal menerusi penyelarasan sistem prasekolah dan peluasan prasekolah KPM.
"Manakala masalah kemahiran literasi dan numerasi pula, KPM melaksanakan program intervensi khusus untuk murid di Tahun Satu," ujarnya.
Prihatin dengan keperluan pendidikan yang kalis masa hadapan, KPM berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 sedang dirangka dengan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.
Selain itu, Standard Guru Malaysia (SGM) 2.0 dan Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) dilaksanakan adalah untuk memastikan golongan pendidik dapat terus meningkatkan kompetensi dan profesionalisme keguruan.
Seterusnya, inisiatif pembangunan semula bangunan sekolah daif, penyelenggaraan infrastruktur institusi pendidikan dan pemerkasaan sekolah-sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9), Sekolah Komprehensif 11 (K11), Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Sekolah Dalam Hospital dan Sekolah Integriti adalah usaha berterusan KPM meningkatkan akses pendidikan sekali gus ia cerminan agenda pendidikan manusiawi untuk memastikan tiada murid tercicir.
Sementara itu, KPM memberitahu, reformasi pendidikan negara yang sedang giat berjalan adalah suatu proses yang berterusan.
“Kami (KPM) menyeru semua pihak untuk memberi kepercayaan, kerjasama dan sokongan bagi melonjakkan pendidikan negara ke tahap yang lebih baik.
“Kecemerlangan sektor pendidikan negara adalah matlamat kita bersama,” jelasnya.