Remaja berusia 16 tahun hilang! 'Baliklah Siti Khadijah, semua orang bimbangkan awak'
Hampir setiap hari kita mendengar berita tentang kehilangan yang membabitkan pelajar sekolah.
Isu yang semakin kerap terjadi itu secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat hari ini.
Masing-masing mula memberi pandangan peribadi mengenai kejadian tersebut malah ada antaranya mengemukakan persoalan 'Kenapa pelajar kita boleh hilang?'
Terbaharu, negara kembali dikejutkan dengan kehilangan seorang remaja perempuan dari Kampung Tok Muda, Karak, Pahang pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, remaja itu, Siti Khadijah Abdul Rahman, 16, dilaporkan hilang dari kediaman keluarga dan ibunya telah membuat laporan polis pada jam 8.30 pagi Isnin.
"Siti Khadijah kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berlengan panjang berwarna hijau dan putih serta berseluar jeans biru.
"Remaja terbabit berkulit sawo matang, berketinggian lebih kurang 157 sentimeter (sm), berat badan 40 kilogram (kg) dengan bentuk badan sederhana," katanya dalam satu kenyataan.
Zaiham berkata, Siti Khadijah dilihat di kediamannya di Kampung Tok Muda sebelum disedari hilang awal pagi Isnin.
"Kita pohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan polis.
"Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2231999," ujarnya.
Selain itu, orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai polis di bawah pentadbiran IPD Bentong sekiranya mempunyai maklumat tentang remaja tersebut.
Balai polis yang boleh dihubungi adalah seperti:
1) Balai Polis Bentong: 09-2222222
2) Balai Polis Genting Highlands: 03-61012222
3) Balai Polis Karak: 09-2311222
4) Balai Polis Lurah Bilut: 09-2377222
5) Balai Polis Manchis: 09-2450522
6) Balai Polis Bukit Tinggi: 09-2330222
7) Balai Polis Telemong: 09-2399222