Remaja maut, doktor bedah berpandukan tutorial pembedahan di YouTube
PATNA - Seorang remaja lelaki berdepan kematian tragis di tangan seorang doktor palsu.
Doktor dikenali sebagai Ajit Kumar Puri itu didakwa menggunakan tutorial melakukan prosedur membuang batu hempedu di YouTube ketika insiden pada minggu lalu.
Mangsa berusia 15 tahun itu dimasukkan ke sebuah klinik di Madhaura di daerah Saran, Bihar di India selepas mengalami muntah-muntah dan sakit perut.
Paling mengejutkan pesakit itu dibedah tanpa pengetahuan atau kebenaran keluarganya.
Puri berpandukan telefon bimbit untuk mengikut langkah yang dipaparkan pada platform perkongsian video terkenal itu, namun keadaan mangsa menjadi semakin teruk.
Doktor tersebut kemudiannya memutuskan untuk membawa mangsa ke sebuah hospital di Patna.
Pesakit itu bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan dan Puri yang panik bertindak melarikan diri serta selamba meninggalkan mayat mangsa.
Keluarga pesakit tersebut akhirnya terpaksa membuat aduan tentang dakwaan kecuaian, melakukan amalan yang salah, membuat pembedahan tanpa kelayakan atau tiada pengalaman.
Mereka menegaskan tindakan melulu doktor berkenaan secara tidak langsung telah menyebabkan kematian mangsa.
Susulan itu, siasatan telah dilancarkan terhadapnya dan staf klinik berkenaan selain operasi untuk memburu suspek,
Difahamkan, prosedur bedah siasat turut dilakukan terhadap mayat pesakit malang itu. - Agensi