Kakitangan BKK UPSI dan pelajar bergambar kenangan di pekarangan luang Penjara Kluang, Johor sebelum program Restu Ilmu SPM 2023 bermula.
Kakitangan BKK UPSI dan pelajar bergambar kenangan di pekarangan luang Penjara Kluang, Johor sebelum program Restu Ilmu SPM 2023 bermula.

Restu ilmu sebalik tirai besi

NURBAYA ABDUL REZAK
24 Jan 2024 01:27pm
A
A
A

Siapa sangka kehidupan di sebalik tirai besi mampu memberi sinar baharu buat penghuni terutamanya bagi calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Dalam usaha memberi sokongan dan semangat kepada para penghuni, Bahagian Korporat dan Komunikasi (BKK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Restu Ilmu SPM 2023 melalui kerjasama beberapa kolaborasi iaitu Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Pejabat Pendidikan Daerah Kluang (PPD) dan Sekolah Integriti Kluang, Johor.

Program anjuran Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), UPSI itu merupakan salah satu inisiatif menyuntik motivasi serta semangat buat pelajar di Sekolah Integriti Kluang, Johor.

Pada dasarnya, sekolah ini ditubuhkan bermula tahun 2008 dengan menekankan kepentingan pendidikan kepada penghuni muda tirai besi di Penjara Kluang yang mempunyai seramai 32 pelajar melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) bersama guru professional.

Program Restu Ilmu SPM 2023 bukan sekadar dorongan kepada calon SPM, malah mengeratkan hubungan dan memberi pengalaman bersua muka antara ibu bapa dan pelajar.

Turut hadir ialah Komandan Sekolah Integriti Kluang, Muhamad Saifullah Adnan, Felo Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPSI, Dr Omar Firdaus Mohd Said; Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr Che Anuar Che Abdullah dan Felo Penasihat Program, Norrulkamari Daud.

Kakitangan BKK UPSI dan pelajar diberi penerangan daripada petugas Penjara Kluang sebelum program Restu Ilmu SPM 2023 diadakan.
Kakitangan BKK UPSI dan pelajar diberi penerangan daripada petugas Penjara Kluang sebelum program Restu Ilmu SPM 2023 diadakan.

Omar Firdaus dalam ucapan perasmian menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Kluang yang memberi komitmen sangat baik dalam menjayakan program tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan pelajar di sini dapat meneruskan kehidupan baharu dengan pengalaman lalu dijadikan pedoman untuk membina kehidupan lebih baik kelak.

"Kesilapan lalu dijadikan iktibar, diingati tetapi jangan sesekali diulangi," katanya sewaktu ucapan perasmian di Sekolah Integriti Kluang, baru-baru ini.

Untuk rekod, Restu Ilmu SPM 2023 diisi dengan slot kerohanian seperti bacaan Yasin, solat hajat dan solat dhuha bersama calon SPM 2023 di tirai besi.

Program diteruskan dengan slot motivasi yang disampaikan Che Anuar dengan banyak pesanan dan motivasi agar calon SPM 2023 di pusat tahanan itu lebih maju ke hadapan dengan melepaskan pengalaman lalu dan membina kehidupan baharu.

Sementara itu, pengarah program merangkap Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah, Shamir Zulkifli berkata, Restu Ilmu SPM 2023 diadakan untuk memberi motivasi kepada calon peperiksaan.

“Kami mengharapkan program ini dapat sedikit sebanyak menyuntik semangat baharu kepada pelajar di Sekolah Integriti Kluang untuk terus berusaha belajar dan mendapatkan keputusan yang cemerlang.

"Pelajar di Sekolah Integriti Kluang ini mempunyai azam yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan kecekalan mereka boleh dicontohi oleh semua mahasiswa universiti.

"Inspirasi dan motivasi yang didapati sekeliling telah mengajarkan bahawa masing-masing dapat merasai kecemerlangan dan kejayaan selagi ia berusaha ke arah kebaikan," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok