RPS Betau dipilih Kampung Angkat Madani KPM
Rancangan Petempatan Semula (RPS) Betau dipilih sebagai Kampung Angkat Madani bagi Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha meningkat dan memperkasakan pendidikan anak Orang Asli serta memastikan kumpulan minoriti itu tidak keciciran dalam pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan itu juga mengambil kira Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau sebagai projek rintis Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) yang menempatkan anak Orang Asli prasekolah hingga Tingkatan Lima dari 18 kampung.
"Mesej kita dengan adanya Kampung Angkat ini adalah untuk memastikan dalam konteks KPM, akses pendidikan untuk anak-anak Orang Asli ini dalam aspek kemenjadian mereka, tidak terputus," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan RPS Betau sebagai Kampung Angkat Madani KPM di SMK RPS Betau, Lipis, Pahang pada Ahad.
Fadhlina berkata, dalam melaksanakan agenda memperkasakan pendidikan anak Orang Asli, KPM memerlukan sokongan komuniti untuk turut sama memainkan peranan kerana usaha itu tidak akan berkesan tanpa pembabitan mereka.
"Maknanya, harus disertai dan disokong oleh komuniti...bukan KPM sahaja. Jadi, keistimewaan ini adalah untuk kita paparkan kepada masyarakat bahawa pertamanya, mereka tidak dipinggirkan. Yang kedua, kita hendak memberi fokus kepada mereka.
"Kebetulan di Pahang, ada IPG (Institut Pendidikan Guru), (dan) memang pengkhususan mereka adalah pendidikan anak Orang Asli dan mereka menguasai pedagogi rimba," katanya.
Dalam usaha itu, Fadhlina berkata, SMK RPS Betau yang dipilih sebagai sekolah K11 pada Mac tahun lepas diangkat sebagai Sekolah Angkat KPM dan akan dijadikan sebagai penanda aras untuk melihat keberkesanannya sebelum direalisasikan ke lokasi lain.
Beliau berkata, sekolah terbabit akan diberikan keutamaan khususnya dari segi aspek digital dengan murid akan dibekalkan tablet oleh Yayasan Didik Negara bagi memastikan anak kawasan pedalaman tidak terpinggir dalam dunia teknologi pendidikan.
"(Sekolah lain) mesti tidak (dipinggirkan) sebab (mereka sudah ada keistimewaan itu). Kebetulan, sekolah ini adalah K11 yang memang kita sedang bagi tumpuan untuk melihat penanda aras sekolah ini untuk dibawa ke tempat-tempat lain mengikut keperluan," katanya.
Pada masa ini, hanya dua sekolah dipilih sebagai projek rintis K11 iaitu SMK Long Bedian di Sarawak dan SMK RPS Betau. - Bernama