Melalui silat juga ukhuwah dan semangat kebersamaan dapat dibentuk.
Melalui silat juga ukhuwah dan semangat kebersamaan dapat dibentuk.

Sahsiah pelajar melalui ilmu persilatan

IZWAN ROZLINIZWAN ROZLIN
25 Sep 2024 12:22pm

Silat bukan semata-mata memfokuskan kepada seni mempertahankan diri tetapi ia mampu membentuk peribadi dan sahsiah khususnya dalam kalangan pelajar.

Jurulatih Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM), Firdaus Abdol Samad berkata, melalui silat juga ukhuwah dan semangat kebersamaan dapat dibentuk.

“Rata-rata yang menyertai PSSPGM ini adalah pelajar dan ketika ini kita mempunyai pelatih berusia enam hingga 19 tahun,” katanya kepada Sinar Bestari.

Beliau berkata demikian pada sesi ujian kenaikan bengkong di sini baru-baru ini.

Hadir sama Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Jelasnya, PSSPGM mempunyai enam gelanggang di sekitar Lembah Klang antaranya Klang, Johan Setia, Meru, Kapar, Shah Alam, U11 dan terbaharu di Gombak, Selangor.

“Setakat ini keahlian kami adalah seramai 200 orang dengan setiap ahli perlu menyertai ujian kenaikan bengkong untuk prestasi latihan masing-masing dinilai,” katanya.

Menurut Firdaus, PSSPGM juga akan menyertai pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKKN) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:


Mohammad Fahmi sempat bermesra dengan pelajar yang hadir pada ujian kenaikan bengkong.
Mohammad Fahmi sempat bermesra dengan pelajar yang hadir pada ujian kenaikan bengkong.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, ujian kenaikan bengkong yang dijalankan oleh PSSPGM berperanan sebagai platform penyatuan masyarakat terutama jurulatih, ahli keluarga dan komuniti setempat.

“Persatuan kami menyokong usaha melestarikan seni silat yang kian mendapat tempat di hati masyarakat.

“Melalui ujian kenaikan bengkong ini, PSSPGM dilihat boleh terus memartabatkan seni silat sebagai satu warisan bangsa yang harus dipelihara dan dihormati oleh generasi akan datang,” katanya.

No Image Caption

APA KATA MEREKA

1) "Aktiviti latihan silat amat mencabar dan menguji fizikal dan mental saya."

- Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelana Jaya, Ahmad Haris Syamsul Anuar, 15

2) "Latihan setiap minggu membuatkan saya lebih mahir dan bersedia untuk menjalani ujian kenaikan bengkong."

- Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9, Shah Alam, Noah Mikael Azhan, 11

3) "Tunjuk ajar pelatih dan senior banyak membantu mendalami ilmu persilatan dengan lebih baik."

- Pelajar SMK Sungai Kapar Indah, Muhd Arif Ajmal Zurihan, 16

4) "Saya bercita-cita untuk menjadi atlet silat olahraga pada masa akan datang."

- Pelajar SMK Perempuan Raja Zarina, Nur Iman Sofina Abdullah, 13

5) "Aktiviti silat menjadikan saya lebih yakin dan berani berbanding dahulu."

- Pelajar Sekolah Rendah Agama Seksyen 19, Shah Alam, Nur Syafiah Husna Faiz, 11

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp