Kejadian geobencana boleh berlaku di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.
Kejadian geobencana boleh berlaku di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.

Sains dan teknologi hadapi geobencana

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
27 Aug 2024 12:20pm

Perkataan ‘geobencana’ menjadi sebutan seluruh rakyat Malaysia susulan kejadian wanita warga India terjatuh dalam tanah jerlus berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur.

Masyarakat terutamanya para pelajar mula mencari-cari maklumat mengenai ‘geobencana’ yang dikatakan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemalangan jiwa, kerosakan harta benda dan ekonomi serta boleh menjejaskan kualiti alam sekitar.

Berdasarkan pencarian maklumat oleh Sinar Bestari, geobencana atau dipanggil fenomena geobencana merupakan salah satu tajuk dalam mata pelajaran Sains Tingkatan Satu.

Ia terdapat pada Bab 9: Bumi dengan sub tajuknya Fenomena Geobencana.

Menurut buku rujukan Focus Sains Tingkatan 1, geobencana bermaksud bencana alam yang melibatkan proses geologi (sains tentang asal usul, sejarah, struktur dan komposisi bumi serta kaji bumi).

Proses endogen (proses yang berpunca daripada bahagian dalam bumi) akan menyebabkan berlakunya pelbagai kejadian geobencana seperti volkanisme, gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, hujan asid, pemanasan global, tanah jerlus/pasir jerlus dan lubang benam.

Fenomena geobencana boleh berlaku di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja.

“Setiap tahun, geobencana menyebabkan banyak kematian, kecederaan dan kerosakan harta benda di setiap negara.

“Oleh itu, sains dan teknologi memainkan peranan yang semakin penting dalam menguruskan geobencana,” catat buku tersebut.

Aplikasi teknologi membolehkan saintis memperoleh maklumat tentang bumi melalui satelit untuk pengurusan geobencana.

Satelit boleh menawarkan data yang tepat, kerap dan hampir serta merta di sebarang kawasan di bumi.

No Image Caption

Apabila bencana berlaku, pengesan jarak jauh seperti satelit adalah satu cara untuk melihat apa yang berlaku di bumi.

Peralatan seperti seismometer digunakan untuk menyukat pergerakan bumi termasuk gelombang seismik yang dihasilkan oleh gempa bumi, letusan gunung berapi dan punca-punca seismik yang lain.

Selain itu, sistem amaran awal juga telah diwujudkan untuk memberi amaran kepada penduduk tempatan apabila geobencana dikesan.

Sistem amaran ini melibatkan penggunaan siren, telefon bimbit dan juga pengumuman melalui televisyen supaya masyarakat boleh membuat persediaan menghadapi kesan yang lebih teruk.

No Image Caption

Kesan geobencana

Kesan negatif geobencana amat buruk terhadap kehidupan manusia.

Antara kesan-kesanya adalah;

1) Membawa kerugian besar kepada negara dan individu.

2) Menjejaskan aktiviti kehidupan individu atau masyarakat setempat yang menjadi mangsa dan turut memberikan impak sosial serta emosi kepada mereka.

3) Menjejaskan kesihatan mangsa di mana geobencana boleh menyebabkan kekurangan air bersih dan mangsa mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit.

No Image Caption

4) Memberi kesan kepada kemusnahan flora dan fauna.

5) Impak kepada sumber bekalan makanan di mana ia tidak dapat dihantar ke kawasan bencana kerana berlaku kesulitan seperti sistem perhubungan dan pengangkutan yang rosak. Situasi ini menyebabkan mangsa berada dalam keadaan kelaparan.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp