ai generated, drones, futuristic
ai generated, drones, futuristic

Saintis bangunkan dron guna bahagian burung sebenar

21 Nov 2024 08:10am

HOUSTON - Saintis di New Mexico Tech, sebuah universiti awam di negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS) telah membangunkan dron menggunakan bahagian burung sebenar, lapor media tempatan KOAT Action 7 pada Selasa, menurut Xinhua.

Dron taksidermi itu direka untuk kelihatan dan terbang seperti burung sebenar dengan bulu asli dan mengibas-ngibaskan kepak, yang akan membantu dron itu bergaul dengan hidupan liar serta membantu juruterbang dengan menghalang burung daripada memasuki ruang udara atau berlanggar dengan pesawat, menurut laporan itu.

Dr Mostafa Hassanalian, penyelidik utama dan profesor kejuruteraan mekanikal di New Mexico Tech, iaitu Institut Perlombongan dan Teknologi New Mexico, percaya dron ini boleh menyelamatkan nyawa, menjimatkan wang dan melindungi alam sekitar, tambah laporan itu.

Pasukan penyelidiknya telah menghabiskan masa dua tahun membangunkan dron dan robot burung pegar, itik mallard dan merpati, menurut laporan USA Today minggu lalu, sambil menyatakan bahawa dron itu masih dalam ujian dan pasukan itu kini sedang berusaha mendapatkan kebenaran untuk menerbangkan dron itu bersama burung sebenar dalam persekitaran bukan simulasi.

Burung animatronik ini juga mungkin digunakan untuk mengkaji formasi burung, warna bulu dan komunikasi, selain ekosistem semula jadi lain, menurut laporan USA Today. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp