UKM
UKM

Sanggup berjauhan dengan keluarga demi ilmu, inilah pengorbanan besar Nimexsionre. Salute!

Roshlawaty Md Raieh
29 Oct 2022 02:32pm
A
A
A

Ramai pelajar ingin meneruskan pembelajaran di Kolej GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Namun, tidak semua bernasib baik kerana untuk belajar di kolej ini, para pelajarnya harus mempunyai potensi intelek semula jadi yang tinggi.

Bagi Nimexsionre Sulani, 17, yang berasal dari Sabah, peluang belajar ke Kolej GENIUS@Pintar Negara, UKM, cukup menggembirakan hatinya.

Kata pelajar ini, tawaran hanya datang sekali. Mana mungkin dia menolak walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta di kampung halaman.

Nimexsionre yang memulakan pengajian di sana ketika berusia 13 tahun memberitahu, dia adalah pelajar kategori B40.

Kerana itu, dia nekad untuk menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh semata-mata mahu mengubah hidup keluarga.

“Bapa, Sulani Saibun hanya seorang pemandu pelancong di Sabah, manakala mak, Lusinah Gambud pula tidak bekerja.

“Apabila mendapat tawaran untuk belajar di Kolej GENIUS@Pintar Negara, UKM ini, saya tidak melepaskan peluang kerana yakin dengan segala kemudahan dan sistem pengajaran serta pembelajaran di sini,” katanya selepas Majlis Graduasi Ke-11 Kolej GENIUS@Pintar Negara, UKM, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut seramai 103 pelajar Tahap 2 telah diraikan bagi sesi akademik 2022/2023 yang berjaya menamatkan pengajian GENIUSpintar High School Diploma (HSD).

Daripada jumlah itu, 52 pelajar menerima Anugerah Pengarah, sembilan Anugerah Khas dan Anugerah Tertinggi serta Nimexsionre menerima Anugerah Kepimpinan Kategori Pelajar Lelaki.

Anugerah-anugerah ini diberikan berdasarkan kecemerlangan yang telah ditonjolkan oleh pelajar di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis graduasi tersebut telah dirasmikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Mohammad Kassim.

Hadir sama, Pengarah Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM, Profesor Madya Dr Rorlinda Yusof.

Sementara itu, anak sulung daripada tiga adik beradik ini berkata, pada mulanya kedua ibu bapanya agak keberatan untuk melepaskannya belajar di kolej tersebut.

Tetapi selepas meyakinkan seluruh ahli keluarganya, mereka mengizinkan Nimexsionre untuk belajar di sana.

“Bukan senang untuk diterima belajar di kolej ini kerana persaingannya terlalu sengit.

"Semua yang diterima masuk ke sini mempunyai latar belakang akademik yang sangat cemerlang.

"Jadi saya perlu berusaha bersungguh-sungguh agar dapat bersaing dengan mereka,” katanya yang kini telah memohon untuk melanjutkan pengajian di London School of Economics and Political Science, United Kingdom.

INFO

Berikut kejayaan Nimexsionre dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti dipetik menerusi portal UKM.

1) Menyertai pertandingan World Scholars Cup Bangkok Global Round 2022 di Thailand.

2) Best Position Paper dalam UiTM Model United Nation.

3) Best Invention Award dan Special International Award dalam Invention Innovation Competition di Kanada.

4) Pingat Emas dalam International Future Scientist Conference 2022.

4) Terpilih sebagai perwakilan termuda dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Sabah yang mewakili Kawasan Kundasang.

6) Ahli Panel Forum anjuran Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar negeri Sabah serta Forum Pendidikan anjuran Wisdom Foundation.

Artikel berkaitan 

Pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM cemerlang di World Scholar’s Cup Global Round 2022

Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021

Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok