Maklum balas diterima daripada pihak luar mengenai pelaksanaan SRBJ sejak Februari tahun lepas positif dan ramai ibu bapa berminat untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu.
Maklum balas diterima daripada pihak luar mengenai pelaksanaan SRBJ sejak Februari tahun lepas positif dan ramai ibu bapa berminat untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Saringan kemasukan ke Sekolah Rintis Bangsa Johor melalui temu duga bersemuka mulai 2027

20 Feb 2026 04:40pm

Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan melaksanakan saringan kemasukan ke Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bagi Darjah 1 dan Tingkatan 1 melalui proses temuduga bersemuka bermula tahun 2027.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Aznan Tamin berkata, penilaian akan dibuat secara menyeluruh meliputi pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, sahsiah, jati diri serta keaktifan murid.

"Pendekatan ini bertujuan memastikan murid yang dipilih benar-benar bersedia untuk memanfaatkan ekosistem SRBJ. Hasrat Kerajaan Negeri ialah agar murid SRBJ kelak mampu berdiri setanding dengan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)," katanya.

Aznan berkata, ketika ini maklum balas yang diterima daripada pihak luar mengenai pelaksanaan SRBJ sejak Februari tahun lepas positif dan memberangsangkan dengan ramai ibu bapa turut berminat untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu.

"Ini kerana mereka menyatakan keyakinan terhadap hala tuju SRBJ, terutamanya selepas pelaksanaan fasa pertama penambahbaikan infrastruktur yang kini lebih moden, selesa dan efisien, setanding dengan sekolah swasta," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan SRBJ sebagai antara 20 sekolah harian terbaik di Malaysia dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains, Teknolologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjelang 2031.

"Bagi SRBJ, perancangan transformasi pendidikan telah disusun secara rapi dengan visi menjadikan Johor sebagai negeri peneraju sistem pendidikan berkualiti, selain melahirkan generasi Bangsa Johor yang cemerlang dan berdaya saing menjelang 2031 menerusi pendidikan awal kanak-kanak," katanya.

Aznan berkata, kerajaan negeri juga sedang memperhalusi pelaksanaan Tadika Rintis Bangsa Johor melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Yayasan Pelajaran Johor, yang akan berfungsi sebagai sistem pengantara kepada SRBJ sedia ada.

SRBJ yang dilhamkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berpaksikan kepada empat teras utama iaitu penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu, penguasaan STEM, kebolehpasaran serta sahsiah murid dan pentaksiran kompetensi murid yang standard bertaraf antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Empat sekolah dipilih sebagai SRBJ bermula sesi persekolahan 2025/2026, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang serta SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara di Johor Bahru, menerusi kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor. - Bernama

Ringkasan AI

  • Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan melaksanakan saringan kemasukan ke Sekolah Rintis Bangsa Johor bagi Darjah 1 dan Tingkatan 1 melalui proses temuduga bersemuka bermula 2027
  • Penilaian kemasukan akan meliputi pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, sahsiah, jati diri dan keaktifan murid
  • SRBJ bertujuan agar muridnya mampu berdiri setanding dengan pelajar Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA
  • Kerajaan negeri berhasrat menjadikan SRBJ antara 20 sekolah harian terbaik di Malaysia dalam Bahasa Inggeris dan STEM menjelang 2031
  • SRBJ berpaksikan kepada empat teras utama yaitu penguasaan Bahasa Inggeris, STEM, kebolehpasaran sahsiah murid dan pentaksiran kompetensi murid bertaraf antarabangsa
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp