Zambry (lima dari kiri) bersama Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar (lima dari kanan) selepas Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pusat Media dan Komunikasi 2024 di ISTAC UIAM Kampus Kuala Lumpur pada Khamis.
Zambry (lima dari kiri) bersama Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar (lima dari kanan) selepas Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pusat Media dan Komunikasi 2024 di ISTAC UIAM Kampus Kuala Lumpur pada Khamis.

Sasaran 250,000 pelajar antarabangsa turut libatkan IPTS - Zambry

18 Oct 2024 03:30pm

Sasaran kemasukan kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa tidak hanya melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT) awam tetapi juga IPT swasta yang memenuhi piawaian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan sasaran di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 itu dibuat berdasarkan permintaan yang kukuh serta kemampuan prasarana pendidikan yang tersedia di negara ini.

"Kita membuat perangkaan itu berdasarkan permintaan kerana dari segi prasarana itu kita ada, jadi saya ingin memperbetulkan tanggapan bahawa kemasukan pelajar antarabangsa itu bukan hanya masuk ke IPTA tapi sebenarnya mereka juga masuk ke IPTS.

"Bagaimanapun, IPTS yang terlibat mestilah menawarkan program yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Kita tidak akan membenarkan mana-mana kursus yang tidak mendapat kelulusan MQA kerana kualiti pendidikan menjadi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pusat Media dan Komunikasi 2024 di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuala Lumpur, Rabu.

Persidangan yang dianjurkan Pusat Media dan Komunikasi Abdul Hamid Abu Sulayman Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM bertemakan Communication and Media Pause: Reflection Values and Impacts itu membincangkan cabaran industri media dan komunikasi dalam era digital.

No Image Caption

Zambry menegaskan sasaran kemasukan pelajar antarabangsa itu juga bukan sekadar untuk meningkatkan jumlah pelajar berkenaan di Malaysia tetapi untuk memastikan Malaysia terus diiktiraf sebagai destinasi pendidikan berkualiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sehingga Jun 2023, statistik menunjukkan terdapat 104,315 pelajar antarabangsa di negara ini dengan 43,952 di universiti awam dan 60,363 di IPT swasta.

Dalam usaha mempertingkatkan kemasukan pelajar antarabangsa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lalu dilapor sedang mengkaji langkah untuk mempermudah prosedur imigresen bagi pelajar asing. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp