Sekolah 'diserang' demam kepialu
Kejadian berlaku sejak minggu lalu, JKNK jalankan kerja-kerja pengawasan
Sebuah sekolah menengah di Kota Bharu, Kelantan gempar apabila guru dan pelajarnya dijangkiti demam kepialu sejak minggu lalu.
Seorang ibu kepada pelajar di sekolah berkenaan yang enggan dikenali berkata, penyakit itu mula dikesan dua hari sebelum sambutan Aidiladha lalu.
“Sebelum ini ada beberapa pelajar asrama telah terkena jangkitan tersebut.
“Saya ingatkan ia tidak merebak, namun situasi ini bertambah parah apabila ramai pelajar harian yang dijangkiti demam ini termasuk guru,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurutnya, guru dan pelajar yang terkena jangkitan telah dirujuk ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala kesemua pelajar dan guru di sekolah terbabit akan menjalani ujian darah pada Rabu.
Seorang bapa yang enggan dikenali berkata, pihak sekolah diharapkan dapat mengambil serius perkara itu dengan membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Tambahnya, jika masalah itu gagal dibendung dengan baik ia berkemungkinan besar boleh memberikan kesan tidak baik kepada pelajar.
“Sebelum ini lebih 20 pelajar terlibat dengan kes keracunan makanan sekitar April lalu.
“Jadi, kali ini saya harap pihak sekolah mengambil langkah drastik dengan melakukan sesuatu agar demam kepialu tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
“Pejabat Kesihatan Kota Bharu sedang menjalankan kerja-kerja pengawalan, pengesanan dan rawatan berkait kes berkenaan,” katanya.
INFO
Demam kepialu atau tifoid adalah sejenis jangkitan bawaan makanan.
Ia disebabkan oleh bakteria salmonella typi.
Bakteria berada di dalam darah, najis dan urin pesakit.