Cadangan KPM untuk menyelaraskan pemakaian seragam sekolah dilihat dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa golongan B40. - Gambar hiasan
Cadangan KPM untuk menyelaraskan pemakaian seragam sekolah dilihat dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa golongan B40. - Gambar hiasan

Selaras seragam sekolah bantu kurangkan beban B40

04 Jan 2026 04:12pm

Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyelaraskan pemakaian seragam sekolah dilihat dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa golongan B40.

Timbalan Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Zainol Abidin Mohamad yang juga Pengerusi PIBKS Kedah berkata, pihaknya menyambut baik hasrat KPM tersebut.

"Prinsip asas pendidikan adalah kesaksamaan, kesederhanaan dan fokus kepada pembelajaran, bukannya perbezaan penampilan. Pendekatan ini dilihat mampu mengurangkan beban kewangan ibu bapa, khususnya golongan B40 dan M40.

"Ia juga dapat mengelakkan unsur persaingan tidak sihat dalam kalangan murid serta mengembalikan fungsi sekolah sebagai medan pembinaan sahsiah, ilmu dan nilai, bukan pameran gaya," katanya dalam kenyataan. 

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah itu perlu dibuat secara berperingkat, inklusif dan berunding dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk pandangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), keperluan murid mengikut iklim, keselesaan dan kesihatan serta realiti sosioekonomi setempat.

"PIBKS menegaskan bahawa ibu bapa adalah rakan strategik pendidikan, bukan sekadar penerima keputusan. Oleh itu, sebarang dasar baharu wajar dilaksanakan melalui libat urus bermakna, agar keputusan diambil benar-benar membawa kebaikan kepada anak-anak dan tidak menambah tekanan kepada keluarga.

"Matlamat kita bukan sekadar seragam sama, tetapi peluang pendidikan yang adil dan bermaruah untuk semua," katanya. - Bernama 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Cadangan Kementerian Pendidikan untuk menyelaraskan pemakaian seragam sekolah dapat mengurangkan beban ibu bapa golongan B40
  • Pendekatan menyelaraskan seragam dilihat mampu mengurangkan beban kewangan dan mengelakkan persaingan tidak sihat antara murid
  • Langkah penyelarasan seragam perlu dilakukan secara berperingkat, melibatkan persatuan ibu bapa dan mempertimbangkan faktor iklim, keselesaan, dan kesihatan
  • Ibu bapa dianggap sebagai rakan strategik dalam pendidikan, sebarang dasar baru harus dilaksanakan melalui libat urus bermakna
  • Matlamat akhir adalah mencipta peluang pendidikan yang adil dan bermaruah untuk semua murid
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp