Fadhlina
Fadhlina

SPL KPM dimansuh tahun depan, kurangkan beban tugas guru - Fadhlina

14 Dec 2025 10:36pm

Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPL KPM) sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian itu dalam usaha mengurangkan beban tugas guru.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut diambil selepas kementerian meneliti pelbagai intervensi sebelum ini termasuk mengenal pasti kekurangan dan keperluan sebenar bagi menangani isu beban tugas guru dari semasa ke semasa.

"Ini adalah susulan daripada apa yang kita dapati berkaitan dengan komitmen kita untuk terus mengurangkan beban guru.

"Kita telah melakukan banyak intervensi dan melihat kekurangan - kekurangan serta bagaimana beban tugas guru ini harus ditangani secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah pada Ahad.

Menurut beliau, sebelum ini KPM telah mengumumkan penambahbaikan melibatkan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) manakala pemansuhan SPL KPM pula dijangka memberi kesan langsung terhadap kebajikan guru dan pengurangan beban kerja mereka.

"Setiap kali kita melihat perkara-perkara yang boleh mengurangkan beban guru, kita akan ambil secara serius, mempertimbangkan dan melihat secara keseluruhan impaknya kepada guru-guru kita," ujarnya.

Fadhlina berkata, SPL KPM sering menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam kalangan warga pendidik kerana dianggap boleh mengganggu fokus mereka terhadap tugas hakiki di dalam bilik darjah.

“Guru-guru sering mempersoalkan perkara ini dan mereka mahu melihat supaya tidak terikat dengan urusan yang boleh mengganggu tugas hakiki mereka.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, pada tahun hadapan, KPM mahu guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran di dalam kelas khususnya melibatkan pelaksanaan kurikulum baharu dan pelan pembangunan pendidikan yang sedang dirangka," ujarnya.

Beliau berkata, SPL KPM dihapuskan dengan hasrat untuk memberikan keyakinan kepada guru dan sebagai usaha konsisten untuk terus mengurangkan beban mereka.

"Insya-ALLAH dengan komitmen daripada segi prasarana infrastruktur dan kemudian tambah baik sokongan kepada guru-guru ini serta pemansuhan beberapa perkara lagi yang sedang kita lihat untuk terus mengurangkan beban guru, akan kita berikan tumpuan dari semasa ke semasa," katanya.

Tambah beliau, pemansuhan SPL KPM juga diharap dapat mengembalikan fokus guru kepada murid selain proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sebenar.

"Hasrat kita adalah untuk mengembalikan tugas hakiki guru kepada soal pedagogi dan memastikan reformasi dalam bilik darjah berlangsung dengan bersungguh-sungguh.

"In teachers we trust adalah harapan besar kementerian," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa KPM memberi penekanan kepada peningkatan kualiti PdP serta persediaan rapi guru bagi pelaksanaan Kurikulum 2026 dan persiapan ke arah 2027.

"Kita mahu memastikan guru-guru benar-benar bersedia dan dapat memberi tumpuan penuh kepada pengajaran demi kemenjadian murid," katanya.

SPL KOM adalah sebuah portal sehenti untuk guru dan pegawai mengurus latihan, merekod Continuing Professional Development (CPD), mendapatkan sijil digital dan mengakses platform pembelajaran seperti SiPP (Sistem Pengurusan Pembelajaran).

Ia dilancarkan awal 2024 untuk meningkatkan profesionalisme guru dan merekod mata kredit latihan.

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan Malaysia memutuskan untuk memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM sebagai usaha mengurangkan beban tugas guru
  • Langkah tersebut diambil selepas meneliti pelbagai intervensi dan keperluan untuk menangani isu beban tugas guru
  • Pemansuhan SPL KPM dijangka memberikan kesan langsung terhadap kebajikan dan pengurangan beban kerja guru
  • KPM mengharapkan pembatalan sistem ini akan mengembalikan fokus guru kepada tugas pedagogi dan proses pengajaran dan pembelajaran yang sebenar
  • Kementerian menekankan peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta persediaan guru menghadapi Kurikulum 2026 dan persiapan ke arah tahun 2027
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp