WhatsApp Image 2021-07-15 at 19.14.04
WhatsApp Image 2021-07-15 at 19.14.04

Seramai 439 pelajar MRSM bakal menerima tablet

A
A
A

KUALA LUMPUR- Masalah miskin digital dalam kalangan pelajar adalah salah satu halangan terbesar bagi segelintir pelajar yang gagal mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kekangan kewangan dan keadaan ekonomi semasa, menjadikan mereka akhirnya ketinggalan dalam sesi pembelajaran yang berlangsung.

Masalah ini telah mencetuskan kerisauan ramai pihak apabila sistem pendidikan negara kian goyah.

Bagaimanapun, isu ini telah mendapat perhatian ramai apabila proses pembelajaran yang berlangsung kurang mendapat sambutan daripada para pelajar.

Menyedari masalah ini, Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT) dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) telah menjalinkan kerjasama bagi membela nasib pelajar-pelajar ini.

Dalam melaksanakan program ini, MUAFAKAT dan ANSARA akan mengagihkan tablet kepada 439 orang pelajar di Maktab Rendah Rendah Sains Mara (MRSM) dan ia dijangka dilaksanakan segera bagi membantu mereka mengakses kelas digital sepanjang musim pandemik Covid-19 ini.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Menurut Presiden MUAFAKAT, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad, kerjasama yang dijalinkan bersama ANSARA adalah bertujuan membantu semua pelajar agar dapat mengikuti PdPR dengan jayanya tanpa sebarang masalah dan kekangan yang mampu menghalang mereka daripada menimba ilmu.

Katanya lagi, program yang pernah dilaksanakan di peringkat cawangan ini, telah diperlebarkan bagi memastikan kesemua pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran digital ini.

“Selain itu, sasaran kami turut tertumpu kepada golongan pelajar yang memiliki bilangan adik-beradik yang ramai dan masih bersekolah, namun peranti yang diperlukan tidak mencukupi.

“Kami menyedari bahawa kemudahan alat digital dan capaian internet sangat penting dalam proses pembelajaran bermula di peringkat tadika sehinggalah di peringkat universiti dan keperluan asas ini telah menjadi satu kemestian yang berperanan sebagai pengganti kehadiran pelajar semasa PdPR.

“Bagi menjayakan objektif program ini, kami turut melancarkan inisiatif mengumpul dana sebanyak RM10 seorang daripada bekas pelajar MRSM demi memenuhi keperluan 439 orang pelajar,” ujarnya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Sementara itu, Presiden ANSARA, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed yakin usaha yang dilaksanakan ini akan membantu MARA dalam memperkasakan pendidikan pelajar-pelajar MRSM.

“Sudah tiba masanya bekas pelajar MRSM bersatu hati menyumbang seadanya sebagai sebahagian kesinambungan kepada matlamat MRSM untuk memartabatkan agama dan mendaulatkan bangsa dan negara,” tutur beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun turut berbangga dan berterima kasih kepada persatuan MUAFAKAT dan ANSARA yang berjuang demi membela nasib pelajar MRSM daripada keciciran dalam sesi pembelajaran.

“Saya berbangga dengan kerjasama ini apatah lagi ia melibatkan bekas pelajar MRSM sendiri malah ini membuktikan MRSM telah berjaya melahirkan generasi cerdik pandai dan berhati mulia dalam menyumbangkan bakti kepada institusi tempat mereka menimba ilmu,” sambung Datuk Azizah.

Demi melahirkan generasi yang berpengetahuan dan berperanan sebagai aset kepada pembangunan negara, MARA akan memastikan pelbagai usaha digiatkan lagi bagi membolehkan pelajar dapat mengakses setiap kelas yang berlangsung.

Sebelum ini, bantuan tablet turut disumbangkan kepada golongan B40 yang bakal menduduki Peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Malahan, pada tahun ini, Yayasan Pelajaran MARA telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi membekalkan tablet kepada pelajar dan sebahagian daripadanya telah diserahkan secara berperingkat kepada pelajar yang memerlukan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok