Sesi persekolahan tetap beroperasi seperti biasa walaupun ada lokasi atau negeri yang dilanda panas melampau.
Sesi persekolahan tetap beroperasi seperti biasa walaupun ada lokasi atau negeri yang dilanda panas melampau.

Sesi persekolahan 10 dan 11 Mac tetap berlangsung seperti biasa!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Mar 2024 04:50pm

“Sesi persekolahan tetap beroperasi seperti biasa walaupun beberapa negeri berdepan cuaca panas hingga tahap berjaga-jaga.”

Demikian kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas merasmikan tapak dan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poi Chee, Sungai Petani, Kedah, pada Ahad, ketika mengulas tentang persekolahan yang dijadual bermula 10 dan 11 Mac ini.

Menurut beliau, hanya jadual operasi sekolah sesi petang yang mengalami perubahan masa pada bulan Ramadan iaitu ditamatkan lebih awal pada pukul 5.30 petang, manakala Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berakhir jam 5 petang.

“Anjakan masa itu dibuat bagi memberi ruang kepada murid dan guru untuk pulang lebih awal dan dapat berbuka puasa dalam keadaan selesa.

"Sekolah sesi pagi pula akan beroperasi seperti biasa dan saya menasihatkan agar ibu bapa memastikan anak-anak minum air secukupnya pada waktu sahur dan berbuka,” ujarnya.

Sambung Fadhlina lagi, kantin sekolah tidak boleh ditutup untuk mereka (murid) yang tidak berpuasa dan bukan Islam.

“Kantin beroperasi seperti biasa, jadi kita harap semangat kembali ke sekolah dan sambut Ramadan lancar dan kita dapat buat persiapan sewajarnya," katanya.

Fadhlina (tiga dari kanan) ketika sesi lawatan kerja ke SJKC Poi Chee, Ahad.
Fadhlina (tiga dari kanan) ketika sesi lawatan kerja ke SJKC Poi Chee, Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa bagi menentukan pakaian dan aktiviti bersesuaian ketika cuaca panas.

Ujar beliau, pihaknya masih mengekalkan garis panduan cuaca panas yang diguna pakai sebelum ini mengikut kesesuaian semasa.

“Semua pihak kena ambil maklum keadaan cuaca ketika ini. Bagi pembukaan sekolah dan Ramadan akan datang, kita akan patuhi surat peringatan yang ada sebelum ini.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah adakan libat urus dengan pengetua dan guru besar untuk memperingatkan tentang pekeliling khusus termasuk konteks aktiviti dan juga keperluan pakaian mengikut cuaca,” tegasnya.

Akhiri Fadhlina, rujukan utama ketika ini adalah MetMalaysia dan pihaknya akan patuhi arahan agensi berkenaan dari semasa ke semasa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp