no image

'Setahun sebagai KPPM, saya akui cabaran paling getir ketika negara berdepan Covid-19' - Dr Habibah

Azliyana Sulaiman
08 Apr 2021 04:28am
A
A
A

Kredit: Facebook Dr Habibah Abdul Rahim

'Setahun sebagai KPPM, saya akui cabaran paling getir ketika negara berdepan Covid-19' - Dr Habibah

Secara rasminya, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Dr Habibah Abdul Rahim bersara, Isnin lalu.

Sepanjang setahun memegang jawatan tersebut, pelbagai cabaran yang beliau hadapi terutamanya ketika pandemik Covid-19 yang berlaku sejak Januari 2020.

"Namun di sebalik ujian yang tidak dijangka ini sebenarnya banyak perkara yang boleh warga KPM banggakan," katanya menerusi facebooknya, baru-baru ini.

Sebelum bersara, Dr Habibah berkongsi coretan penuh kenangan dalam facebooknya sebagai kenangan yang mungkin tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

Mari ikuti catatan ikhlas daripada tokoh hebat dan disayangi ramai ini.

*****

Catatan bertarikh 5 April 2021 | Isnin

Hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai penjawat awam setelah 35 tahun berkhidmat. Saya mula berkhidmat sebagai guru di negeri Kedah dan kemudiannya di beberapa buah sekolah di negeri Selangor. BPPDP, IAB dan PADU juga menjadi sebahagian daripada sejarah perkhidmatan saya dalam tempoh berkenaan.

Mengimbau kembali perkhidmatan saya sebagai KPPM, tempoh singkat berkenaan sebenarnya sangat mencabar. Ini kerana kita semua diuji dengan satu situasi penularan wabak yang tidak pernah dijangka. Covid-19 benar-benar menguji sektor pendidikan seluruh dunia termasuklah negara kita. Namun di sebalik ujian yang tidak dijangka ini sebenarnya banyak perkara yang boleh warga KPM banggakan.

Kita berjaya meneruskan PdP walaupun ianya tidak dapat menggantikan pembelajaran secara bersemuka, namun keutamaan KPM untuk terus memastikan murid kekal menerima pendidikan harus dibanggakan. Garis panduan yang dikeluarkan KPM telah menjadi panduan buat semua pihak berkepentingan dalam memastikan kelangsungan pendidikan. KPM telah melakukan sebaik mungkin agar impak terhadap pembelajaran murid dapat dikurangkan.

Ekoran penularan pandemik Covid-19, UPSR dan PT3 tidak dilaksanakan pada tahun 2020.

Selain itu, peperiksaan awam utama seperti SPM umpamanya terpaksa dijadualkan semula beberapa kali akhirnya telah berjaya dilaksanakan. KPM berjaya melaksanakan peperiksaan awam dan pentaksiran pusat seperti PKSK dengan lancar berdasarkan pematuhan SOP yang sangat ketat. Pematuhan terhadap SOP oleh semua pihak membolehkan peperiksaan awam dan pentaksiran pusat dilaksanakan dengan jayanya. Saya amat bersyukur kerana tiada kluster Covid-19 yang wujud di pusat peperiksaan seluruh negara semasa tempoh berkenaan.

Saya juga merasakan, perubahan ke arah pendidikan digital berlaku dengan agak pantas semasa tempoh penutupan sekolah. Ramai warga pendidik yang berjaya beradaptasi dengan baik terhadap tuntutan perubahan PdP menggunakan teknologi dan berasaskan digital. Dalam tempoh ini, KPM juga telah mengembalikan semula siaran TV Pendidikan melalui DIDIKTV KPM yang disiarkan secara terrestrial bagi menyokong PdP secara berterusan.

Justeru, saya yakin Dasar Pendidikan Digital yang sedang dirangka dengan rapi oleh KPM akan berjaya memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan khususnya ketika kita berhadapan dengan krisis.

Mulai hari ini, murid di semua peringkat persekolahan mulai kembali ke sekolah. Ini juga merupakan kejayaan KPM sepanjang tempoh yang penuh mencabar ini. Strategi pembukaan sekolah berdasarkan pematuhan SOP yang telah ditetapkan membantu kelancaran pembukaan sekolah.

Untuk semua warga pendidik dan rakan-rakan di PPD, JPN dan KPM saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama, sokongan dan bantuan yang telah diberikan kepada saya sepanjang dalam perkhidmatan awam.

Teruskan bersama-sama melangkah lebih jauh!

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin juga, turut tidak ketinggalan berkongsi momen-momen manis sepanjang beliau mengenali Dr Habibah.

Ini kata Dr Radzi melalui posting yang dimuat naik di laman rasmi facebooknya pada tarikh yang sama iaitu 5 April lalu.

*****

Pertama kali mengenali beliau adalah ketika saya menjejakkan kaki di KPM pada 11 Mac 2020. Pada 16 Mac 2020, kerajaan umumkan bahawa PKP akan mula dilaksanakan pada 19 Mac 2020. Ketika itu, tiada siapa di antara kami yang ada pengalaman mengemudi sektor pendidikan sewaktu pandemik. Saya bersama beliau dan KSU serta kepimpinan KPM sentiasa duduk berbincang mencari jalan yang terbaik untuk membawa KPM menempuhi satu tempoh yang cukup sukar ini.

Sebelum sebarang keputusan dibuat, kami duduk berbincang satu-persatu. Setiap perkara diperincikan berdasarkan maklumat dan data yang ada. Dalam perbincangan, beliau adalah salah seorang sparring partner saya. Hujahan demi hujahan dikemuka dan dibincangkan. Bilik mesyuarat pejabat saya sudah ibarat war room! Di papan putih ditulis opsyen yang ada dan di analisa satu persatu. Bila ada point yang tidak jelas, Cikgu Habibah bangun dari tempat duduknya dan melakar di papan putih.

Kadang-kadang suasana mesyuarat ibarat di medan perang! Hujahan yang diberikan akan ditembak jatuh jika tidak disokong dengan data dan maklumat yang tepat atau tidak diartikulasi dengan baik. Tidak kiralah hujah itu daripada Menteri, KSU ataupun KPPM.

Kalau yang tidak biasa melihat kami bermesyuarat, tentunya terkejut melihat kehangatan suhu perbincangan!

Kadang-kadang, selepas berbincang panjang lebar dan saya lihat Dr Habibah senyap sahaja, saya akan bertanya, "Dr, ada nak tambah?”. Kalau yang ditambah itu memerlukan perbincangan lanjut, maka mesyuarat akan terus berterusan. Ada juga keadaan apabila hampir membuat keputusan, Dr Habibah akan sebut, “Tapiiiii...”. Kami pun menoleh kepada beliau, “Tapi apa Dr?”. Jika “tapi” itu tidak boleh diketepikan, maka mesyuarat diteruskan lagi.

Dalam urusan berkaitan pendidikan, beliaulah penasihat ulung. Kami sentiasa duduk bersama membincangkan pelbagai perkara. Pengalaman luas dan kepakaran beliau telah banyak membantu saya di Kementerian. Saya amat menghargai kesungguhan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sehingga ke hari terakhir perkhidmatan beliau.

Pernah ada beberapa permohonan kepada saya daripada Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengadakan majlis persaraan untuk Dr Habibah ketika kami melawat ke negeri tersebut dalam tempoh seminggu yang lalu.

Saya kata, “Adalah tidak adil untuk mengadakan majlis persaraan beliau terlalu awal kerana saya tahu komitmen dan dedikasi Dr Habibah. Beliau akan curahkan segala jasa bakti beliau sehingga ke saat akhir di KPM".

Petang tadi tibalah saat terakhir tersebut. Saya tunduk hormat menghargai segala jasa dan pengorbanan beliau menyokong, mendokong dan membantu saya sepanjang setahun saya mengemudi kementerian dalam tempoh yang amat sukar.

Selamat Bersara dan Selamat Maju Jaya saya ucapkan.

Terima kasih, Cikgu Habibah!

Artikel menarik

USIM raikan 2,686 graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-18 secara hibrid dalam norma baharu

YPM salur RM172,000 bantu pelajar Kelantan menerusi Program Back To School YPM dan Celik al-Quran

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok