HomeBuletinSJKT Ladang Byram catat IPU tidak sihat

SJKT Ladang Byram catat IPU tidak sihat

NIBONG TEBAL – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, dicatatkan tidak sihat ekoran kejadian kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sejak Rabu minggu lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan kualiti udara sejak semalam menggunakan alat penganalisis multitugas mudah alih untuk mengenal pasti gas-gas dan parameter pencemar yang wujud dengan mod cerapan (anggaran selang) setiap 30 saat.

Baca juga: Kebakaran di tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, 10 sekolah diarahkan tutup sementara

Baca juga: Kesihatan kanak-kanak terjejas kerana perubahan iklim – UNICEF

“Pengukuran gas di SJKT Ladang Byram masih berlangsung dari awal pagi hingga kini dan IPU di situ menunjukkan berada dalam julat tidak sihat iaitu 112. Semua data gas yang dicerap dimaklumkan dalam mesyuarat bencana,” katanya ketika dihubungi BERNAMA pada Khamis.

Katanya, jabatan itu akan meneruskan pemantauan di lokasi bersesuaian sehingga pemadaman kebakaran selesai dan bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh.

Sharifah Zakiah berkata, pihaknya turut menjalankan pemantauan di tujuh lokasi lain iaitu SJKT Ladang Changkat, Sekolah Kebangsaan (SK) Keledang Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SK Methodist, Dewan MPKK Changkat; Surau Al-Mustaqim Bandar Cassia dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Saujana Indah.

Sementara itu, Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi laman Facebooknya memaklumkan sebuah helikopter bersama tujuh pegawai dan anggota bomba telah menjalankan operasi pemadaman api menggunakan kaedah pengeboman air membabitkan 26 pusingan hari ini.

“Operasi hari ini bermula pukul 9 pagi dan tamat dua jam kemudian, sebelum disambung semula pada 2 hingga 3.30 petang membabitkan pengeboman air sebanyak 39,000 liter air. Sumber air adalah daripada sumber air terbuka,” menurut kenyataan itu.
Pihak JBPM turut menjalankan kaedah sama di kawasan berkenaan membabitkan 21,500 liter air pada Rabu.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/ 

Menurut JBPM, proses pemadaman api menjadi sukar kerana sampah terdiri daripada lapisan plastik yang menghalang air sampai ke punca api, selain cuaca panas sehingga 38 darjah Celsius dan angin kuat mencecah 10 hingga 20 kilometer sejam.

Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung diisytihar sebagai kawasan bencana tahap satu selepas kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.

Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar itu dilaporkan terbakar pada 4.43 petang Rabu minggu lalu dan sehingga kini api belum dapat dipadamkan sepenuhnya.

– BERNAMA