SM St Michael pecah rekod! Jadi sekolah pertama di Sabah miliki perpustakaan digital
Sekolah Menengah (SM) St Michael, Penampang, Sabah, menjadi sekolah pertama di negeri itu yang mempunyai perpustakaan digital sendiri dengan lebih 100,000 kandungan digital yang terdapat di pangkalan data Perpustakaan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Menurut Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, perpustakaan digital tersebut kini mempunyai 80 peratus informasi berasaskan bahan bacaan digital manakala 20 peratus lagi meliputi jurnal, buku ilmiah, fiksyen, majalah serta akhbar dalam dan luar negara secara fizikal.
“Dengan adanya perpustakaan digital, ia dilihat membuka peluang kepada pelajar sekolah itu untuk menimba ilmu pendidikan tanpa batasan.
“Justeru, pelancaran SIR Corner ini bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan-bahan bacaan digital yang bersesuaian dengan komuniti setempat,” ujarnya pada Majlis Penyerahan SIR Corner dan perasmian Program Kecemerlangan dan Kelas Bimbingan Butiza di SM St Michael pada Jumaat.
Hadir sama, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengetua SM St Michael, Jennifer Asing.
SIR Corner merupakan inisiatif yang telah dijalankan sejak tahun lalu bertujuan menyediakan satu ruang yang dilengkapi dengan set komputer, meja dan 50 keahlian E-Perpustakaan.
Malah, kandungan di dalam pangkalan data SIR Corner itu menjadikan perpustakaan digital tersebut sebagai hab pendidikan tanpa sempadan.
Sementara itu, Program Kecemerlangan dan Kelas Bimbingan Butiza anjuran YBR yang turut diadakan pada hari sama bertujuan memberi pendedahan teknik menjawab soalan peperiksaan terutamanya subjek teras dan elektif.
Ia juga untuk meningkatkan motivasi dan semangat pelajar serta sebagai persediaan minda sebelum menduduki peperiksaan.
Menurut Philip, dia melahirkan keterujaan di atas inisiatif yang dijalankan pihak sekolah bagi meningkatkan prestasi pendidikan dan akademik pelajar khususnya mereka yang berada di sekitar Penampang.
“YBR sentiasa menyokong agenda pendidikan negara dan semestinya program sebegini mampu memberikan impak tinggi kepada pencapaian pelajar yang bakal menduduki peperiksaan nanti.
“Besar harapan saya agar bantuan yang disalurkan dapat membantu pihak sekolah meneruskan aktiviti pendidikan yang telah dirancang sepanjang tahun sekali gus membantu para pelajar mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan biasa hingga ke peperiksaan sebenar,” jelas beliau dengan menambah, usaha ini juga menjadi salah satu strategi YBR dalam membantu masyarakat di Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan, baik di bandar mahupun di luar bandar.