SMK Sri Perak jejak aspirasi menara gading di UM
Setiap pelajar sekolah yang menyimpan impian melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tentunya lebih teruja dalam usaha apabila merasai sendiri pengalaman menjejakkan kaki ke sebuah universiti.
Menyedari hakikat ini, Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) menganjurkan Program Lawatan Sambil Belajar bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perak, Parit Buntar, Perak, baru-baru ini.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan dalam usaha menjalinkan hubungan sosial dengan pihak sekolah selaras dengan visi UM untuk melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi.
Selain itu, program tersebut juga mencerminkan nilai-nilai teras UM seperti kesungguhan, perpaduan, integriti, keikhlasan dan empati.
Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Dr Kamal Solhaimi Fadzil, program ini antara lainnya memberi peluang kepada pensyarah dan mahasiswa jabatan untuk meluangkan masa bersama pelajar-pelajar sekolah.
“Secara tidak langsung, program ini membuka ruang bagi pertukaran pandangan berkaitan kemasukan ke UM khususnya dan pengalaman menyambung pengajian di peringkat universiti, amnya. Ia juga mampu meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya sewaktu menghadiri program itu di UM.
Sementara itu, pensyarah kanan jabatan merangkap pengarah program, Dr Asbah Razali berkata, idea menganjurkan program ini timbul daripada inisiatif Jabatan Antropologi dan Sosiologi untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat, khususnya SMK Sri Perak.
“Aktiviti-aktiviti yang disusun dalam program ini bukan sahaja membolehkan pelajar sekolah mengenali potensi diri mereka tetapi memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan mahasiswa UM,” terangnya lagi.
Asbah berharap program ini dapat meningkatkan motivasi dan semangat pelajar SMK Sri Perak untuk mencapai cita-cita masing-masing dengan melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Tiada yang mustahil untuk dicapai dalam hidup ini, asal sahaja kita berilmu dalam mengejarnya. Diharapkan dengan lawatan yang singkat ini mampu menyuntik sedikit lonjakan dalam diri pelajar yang terlibat untuk bersemangat dalam usaha masing-masing mendekati impian yang terbina,” katanya penuh semangat.
Sesi perkongsian pengalaman oleh pensyarah dan mahasiswa adalah antara perkara menarik dalam program ini, terutama sesi perkongsian khusus bertajuk ‘Meniti Masa Depan yang Gemilang’ yang disampaikan oleh wakil pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi UM, Dr Syed Abdul Razak Sayed Mahadi.
Antara intipati perkongsian Syed Abdul Razak ialah tidak memandang rendah terhadap kekurangan yang ada, kerana berbekalkan usaha yang tidak mengenal jemu, kita sebenarnya mampu menggapai apa jua cita-cita yang kita impikan.
Aktiviti ini juga diadakan bagi memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk yakin dalam mengejar cita-cita melanjutkan pengajian mereka ke peringkat tertinggi.
Dengan pengalaman yang dikongsikan, pelajar SMK Sri Perak diharap mampu lebih berkeyakinan untuk berusaha sehabis baik dan menempa kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi.
Ketua Guru Pengiring SMK Sri Perak, Hamzah Sauti mengakui berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat mengukuhkan lagi ikatan dan jaringan sosial antara UM dan SMK Sri Perak.