
SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin dijangka beroperasi tahun hadapan
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam dijangka beroperasi pada tahun hadapan bagi memperkukuh pendidikan Islam berteraskan dakwah dan keharmonian masyarakat majmuk.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah itu dinamakan sempena nama tokoh dakwah dan pemikir terkemuka Pulau Pinang, Sheikh Tahir Jalaluddin yang dikenali atas sumbangan besar beliau dalam bidang ilmu dan pembaharuan Islam.
"Sekolah ini akan memberi tumpuan kepada aspek dakwah, kekuatan Islam dalam masyarakat majmuk dan menampilkan pendekatan Islam yang ramah, harmoni serta menghormati kepelbagaian," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar 'Wacana Fikrah Siddiq Fadzil: Karamah Insaniyah - Pencetus Negara Bangsa'.
Beliau berkata, antara keunikan sekolah berkenaan ialah penekanan kepada penguasaan pelbagai bahasa selain bahasa Melayu, seperti bahasa Inggeris, Arab, Tamil dan Mandarin bagi melahirkan pelajar yang mampu berdakwah secara berhemah dalam masyarakat berbilang kaum.
Fadhlina berkata, usaha itu juga selaras dengan kejayaan pelaksanaan program Tahfiz Model Ulul Albab, dengan SMKA berkenaan akan menampilkan pendekatan pendidikan Islam yang menekankan disiplin ilmu, akhlak dan penguasaan pelbagai bidang.
"Diharapkan pelajar sekolah ini akan menjadi pendakwah yang berakhlak mulia, berilmu serta mampu membawa mesej Islam yang lebih harmoni dan inklusif," katanya.
Beliau berkata, pembinaan sekolah itu melibatkan kos sebanyak RM64 juta, merangkumi pelbagai kemudahan moden dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
Sekolah berkenaan bakal dilengkapi blok akademik yang menempatkan bilik darjah, blok pentadbiran, dewan serba guna, sembilan makmal sains, dua makmal komputer, enam bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), surau, kantin, padang serta tiga gelanggang permainan.
Ia turut mempunyai asrama lelaki dan perempuan, rumah warden, dewan makan serta kemudahan lain yang menyokong keperluan pembelajaran holistik. - Bernama
Ringkasan AI
- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam dijangka beroperasi tahun hadapan untuk memperkukuh pendidikan Islam
- Dinamakan sempena tokoh dakwah Pulau Pinang, Sheikh Tahir Jalaluddin dan bertumpu pada dakwah dan keharmonian dalam masyarakat majmuk
- Akan menekankan penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Arab, Tamil dan Mandarin
- Merangkumi kemudahan moden dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kos pembinaan RM64 juta
- Dilengkapi blok akademik, blok pentadbiran, dewan serba guna, makmal sains, makmal komputer, bengkel RBT, surau, kantin, padang, gelanggang permainan, asrama, dan kemudahan lain