
Inovasi Ustaz Quszaini perkasa pendidikan Islam melalui modul pembelajaran & teknik menjawab
Nama Ustaz Quszaini Abd Manan kian sinonim dengan pendekatan kreatif dan inovatif dalam membantu murid menguasai teknik mudah menjawab peperiksaan penting seperti Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sijil Rendah Agama Islam (SRAI).
Beliau bukan sekadar seorang guru biasa, malah merupakan Jurulatih Utama Bahasa Arab Kinta Utara, Perak yang sentiasa berusaha mencari kaedah paling berkesan bagi memastikan anak didiknya bukan sahaja memahami ilmu, tetapi juga mampu menguasai teknik menjawab soalan dengan yakin dan tepat.
Katanya, ramai murid mempunyai potensi besar untuk cemerlang, namun kurang pendedahan kepada strategi belajar dan menjawab.
"Anak-anak ini bukan tidak pandai, tetapi mereka sering gugup dan keliru apabila berhadapan dengan soalan peperiksaan.
"Di sinilah peranan guru untuk membimbing bukan sahaja isi pelajaran, malah teknik menguasai soalan," ujarnya yang merupakan Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak.

Demi membantu murid-murid skor dalam peperiksaan, Ustaz Quszaini membangunkan pelbagai modul pembelajaran yang memberi fokus kepada nota padat, peta minda, latihan soalan popular dan teknik menjawab mengikut format terkini.
Selain itu, beliau turut menganjurkan Bengkel Strategi 360° UPKK & SRAI yang kini semakin mendapat perhatian di seluruh negara.
Bengkel tersebut bukan sekadar sesi ceramah, sebaliknya menampilkan latihan praktikal, simulasi soalan dan perbincangan kumpulan yang memberi peluang murid memahami dengan lebih mendalam cara menjawab peperiksaan secara sistematik.

Sementara itu, Ustaz Quszaini berkata, menjawab soalan UPKK dan SRAI bukan hanya tentang menulis fakta semata-mata.
"Murid juga digalakkan menzahirkan penghayatan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah, disiplin, syukur dan adab dalam setiap jawapan yang ditulis.
"Pendekatan ini diyakini dapat melahirkan calon yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta lebih yakin menghadapi peperiksaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Ustaz Quszaini sering berpesan bahawa kejayaan tidak datang sekelip mata, sebaliknya hasil usaha, doa dan tawakal.

"Harapan saya agar anak-anak ini melangkah ke dewan peperiksaan dengan hati yang tenang, ilmu yang mantap serta keyakinan bahawa mereka mampu berjaya.
"Saya juga ingin mereka keluar bukan sekadar membawa kertas jawapan, tetapi turut membawa pengalaman berharga bahawa pembelajaran agama ini sebenarnya menyeronokkan," jelasnya lagi.
Akhir sekali, Ustaz Quszaini berharap modul pengajaran dan teknik menjawab yang dibangunkannya dapat diperluas ke seluruh Malaysia secara lebih sistematik.
"Saya ingin melihat lahirnya generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga kukuh dari segi kefahaman agama, akhlak dan jati diri. Inilah pelaburan sebenar untuk masa depan umat," ujarnya.

Ringkasan AI
- Ustaz Quszaini Abd Manan dikenali dengan pendekatan kreatif dalam pengajaran untuk UPKK dan SRAI
- Beliau merupakan Jurulatih Utama Bahasa Arab di Kinta Utara, Perak dan mengembangkan modul pembelajaran efektif
- Menekankan pentingnya menguasai teknik menjawab dan bukan hanya ilmu semata
- Anjurkan Bengkel Strategi 360° UPKK & SRAI, gabungkan latihan praktikal dan perbincangan kumpulan
- Memperkasakan murid dengan nilai murni dalam jawapan, menargetkan kecemerlangan akademik dan akhlak