Sofyank, Khairul Aming sokong Karnival Pendidikan Sinar Bestari

17 Aug 2023 08:51am



Karnival Pendidikan Sinar Bestari memberi wacana baharu terhadap dunia media sosial orang ramai terutama kepada warga pelajar.

Menurut pereka kandungan digital tanah air, Sofyank atau nama sebenarnya Mohamad Sofian Abdullah, ia kerana menerusi karnival tersebut, mereka diperkenalkan kepada teknologi pendigitalan media terutama menerusi uji bakat TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS).

Beliau yang juga merupakan pempengaruh TikTok berkata, ramai generasi muda kini tidak terlepas daripada fenomena teknologi berkenaan.

Justeru, Sofyank amat menggalakkan kehadiran pelajar ke Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 8 hingga 10 September ini.

“Sekarang ini hampir semua pelajar ada media sosial, sehinggakan mereka terdedah kepada banyak hiburan daripadanya.

“Cuma mengapa tidak, jika platform berkenaan menjadi medium untuk menyampaikan ilmu dengan lebih kreatif dan santai kepada mereka (pelajar).

“Saya masih ingat ketika di bangku sekolah terdahulu sangat sukar untuk menguasai subjek Matematik Tambahan, tetapi kini bila saya tengok gaya penyampaiannya video di sosial media, ia dilihat sangat senang,” katanya kepada Sinar Bestari semasa Majlis Pra-Pelancaran Anugerah TikTok pada Rabu.

Majlis pra pelancaran yang berlangsung di The Godown Art Centre di Kuala Lumpur turut dihadiri oleh beberapa warga pempengaruh TikTok terkenal yang lain termasuk Khairul Aming, Sir Syahmi, Ceddy dan Auntie Purple.

Artikel Berkaitan:


Anugerah TikTok yang bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur akan diadakan pada 27 Ogos sebagai meraikan pencapaian dan usaha luar biasa yang dipamerkan oleh warga pempengaruh dan pencipta kandungan, yang merupakan tulang belakang platform berkenaan.

Ia dianjurkan menerusi kerjasama dengan TV3, bersama HONOR 90 5G (Penaja Utama), foodpanda (Penaja Bersama), F&N Dairies (Rakan Penaja), dan U Mobile (Rakan Penaja).

Dalam pada itu, Sofyank mengulas, pendedahan terhadap dunia media, sebenarnya menyediakan peluang kepada para pelajar untuk merancang karier mereka pada masa hadapan dengan lebih baik.

“Dengan penggunaan teknologi media sosial hari ini, ia membolehkan saya membina karier sehingga dapat berkolaborasi dengan pempengaruh antarabangsa terutama ZachKing,” jelasnya.

Sementara itu, Khairul Aming berkata, pendidikan hari ini tidak sekadar tertumpu kepada kelas di bilik darjah tetapi menerusi program santai seperti karnival.

“Kita sekarang berada di tahun 2023, platform untuk mendapatkan imu itu semakin luas dan berada di man-mana dan jangan lepaskan setiap peluang yang datang,” ujar beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp