Ini tiga tip berjaya macam Khairul Aming
Menjadi individu berpengaruh bukanlah semata-mata mengurus populariti dan kemegahan.
Tatkala anda mampu mempengaruhi manusia sekeliling, pastinya ramai yang tiba-tiba hadir mahu bersahabat dan cuba mencungkil sebanyak mungkin peluang demi manfaat bersama.
Itulah gambaran daripada apa yang dilalui individu bernama Khairul Aming.
Kali terakhir bertemu dan bersembang panjang, ketika beliau dinobatkan sebagai Pempengaruh TikTok Terbaik Malaysia 2023.
Kali ini, Khairul Aming melancarkan produk keduanya melalui platform TikTok Shop.
Pastinya ramai yang ingin tahu apa cerita di sebalik lakaran kejayaan yang ditempa beliau yang kini mempunyai lebih 10 juta pengikut merentas platform media sosial.
Pada Jumaat, Khairul Aming berjaya mencatatkan jualan lebih RM1 juta terpantas dalam sejarah TikTok Shop Malaysia, dengan hanya mengambil masa 219 saat!
Jadi, bagi anda yang mungkin sangat terinspirasi dengan beliau, berikut tiga perkara penting yang perlu anda beri perhatian sekiranya mahu mencipta nama seperti Khairul Aming.
1. Kerja yang teliti
Salah satu ciri kejayaan seorang pencipta kandungan digital ialah menghasilkan kandungan yang asli dan mampu memenuhi keperluan pengguna kandungan digital.
Khairul Aming amat teliti dalam memilih makanan yang ingin dikongsikan dalam video masakannya.
Ketelitian beliau boleh dilihat menerusi cerita, visual dan pendekatan yang ringkas untuk menghasilkan video yang berkualiti.
Malah, ketelitian Khairul Aming tidak terhad kepada proses penciptaan kandungan semata-mata, tetapi juga mengurus kelangsungan hidup.
Ini kerana, menjadi pencipta kandungan semata-mata tidak mampu untuk memberikan pulangan ekonomi yang lumayan bagi jangka masa panjang.
Maka, dia perlu berniaga untuk cukup wang bagi menampung keperluan hidup dan pengaliran kreativiti bagi menghasilkan kandungan yang memberi impak kepada penonton.
Bila dah berniaga, pastinya semua proses dokumentasi dan perundangan berkaitan juga perlu lengkap dan diuruskan dengan cekap.
Barulah kita tidak teragak-agak sekiranya perlu berhadapan dengan sesiapa (walaupun pihak berkuasa) andai ada yang cuba mencari salah dek kerana populariti yang telah dicipta.
Kalau mental tak kuat, maka anda akan mudah hanyut.
2. Guna tenaga yang cekap
Kita semua ada 24 jam, tetapi pengalaman yang ada dalam diri setiap seorang daripada kita tidak semuanya sama.
Untuk menjadi pencipta kandungan, aliran idea seharusnya tidak putus biar apa jua cabaran mahupun dugaan yang perlu dihadapi.
Berdasarkan pengamatan saya, Khairul Aming telah berjaya menguruskan hal paling utama yang sentiasa mendesak seseorang pencipta kandungan sehingga hanyut, iaitu kebebasan wang.
Sebaik bebas daripada usaha mencari wang, maka kita akan bebas berfikir untuk mencipta kandungan yang hebat.
Khairul Aming dilihat sangat fokus kepada perniagaannya antara tiga hingga lima tahun pertama sebagai pencipta kandungan sepenuh masa.
Maka tidak hairanlah, sekiranya kita jarang melihat Khairul Aming ditemu bual mana-mana media arus perdana mahupun kandungan audio siar yang kini menjadi trend.
Beliau kekal fokus, mahu jadi pencipta kandungan dan menginspirasikan pengikutnya dengan sebaik mungkin.
3. Konsisten
Apabila semua cabaran utama hidup telah diuruskan (terutamanya hal kewangan), maka lebih banyak kandungan yang menarik dan menginspirasikan dapat dicipta.
Bagi yang baru berhasrat memulakan karier sebagai pencipta kandungan (sekali gus menjadi pempengaruh digital), anda perlu susun strategi yang menjadikan anda dikenali melalui penciptaan kandungan yang konsisten.
Seperti Khairul Aming, beliau memanfaatkan bulan Ramadan untuk menginspirasikan pengikutnya untuk belajar memasak di samping dapatt menjimatkan wang menerusi kandungan 30 hari 30 resipi.
Sunggupun demikian, usahanya tidak terhenti di situ, tetapi terus berjuang mencari jalan untuk menaikkan kualiti cerita dan visual seiring dengan peningkatan jumlah pengikutnya.
Secara keseluruhannya, kejayaan yang dicatatkan pada Jumaat bukanlah usaha semalaman.
Segalanya bermula daripada sebuah video yang diusahakan atas dasar minat yang mendalam.
Paling penting, jangan pernah berhenti untuk belajar dan mengadaptasi kehidupan seiring dengan perkembangan teknologi serta perubahan cara hidup manusia. - Awani