Sagah berkata, dengan pelaksanaan itu, semua pelajar Tingkatan 1 akan memasuki aliran DLP dan meneruskannya sehingga Tingkatan 5.
Sagah berkata, dengan pelaksanaan itu, semua pelajar Tingkatan 1 akan memasuki aliran DLP dan meneruskannya sehingga Tingkatan 5.

DLP diperluas ke sekolah menengah di Sarawak mulai tahun depan - Sagah

03 Dec 2025 12:46am

Program Dwibahasa (DLP) di Sarawak akan diperluas ke sekolah menengah mulai 2026, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan itu, semua pelajar Tingkatan 1 akan memasuki aliran DLP dan meneruskannya sehingga Tingkatan 5.

"Di peringkat menengah atas, inisiatif ini akan melibatkan langkah penting apabila mata pelajaran sains tulen utama, iaitu Biologi, Kimia, Fizik serta Matematik Tambahan akan diajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau berkata, program itu terus menjadi antara strategi utama untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sarawak dengan mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bagi membantu menyediakan pelajar supaya lebih kompetitif dan lebih bersedia menghadapi masa depan.

"Ini amat penting terutamanya ketika kita berusaha meningkatkan penyertaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta melahirkan siswazah berkualiti dalam kalangan anak Sarawak," katanya.

Sebelum ini, program DLP Sarawak mewajibkan semua sekolah kebangsaan di Sarawak mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, termasuk Ujian Penilaian DLP (UP-DLP), iaitu satu penilaian untuk mengukur prestasi pelajar dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Dalam perkembangan lain, Sagah berkata, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dijangka siap pada Oktober tahun depan.

Beliau berkata, pembinaan pusat penyelidikan perubatan yang terletak di Samarahan itu telah mencapai 40 peratus siap setakat ini dan dijangka menjadi pusat utama bagi pemantauan penyakit berjangkit serta inovasi bioperubatan sebaik ia beroperasi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Fokus SIDC merangkumi beberapa penyakit penting yang menjejaskan kesihatan manusia dan haiwan seperti tuberkulosis (TB), malaria, denggi, demam babi Afrika (ASF), rabies dan jangkitan parasit melalui tanah," katanya.

Mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), beliau berkata, 64 kursus telah diluluskan di bawah skim berkenaan di empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Curtin Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.

"Senarai terperinci akan diumumkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 Dis ini," katanya. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Program Dwibahasa di Sarawak akan diperluas ke sekolah menengah mulai 2026
  • Pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 akan memasuki aliran DLP
  • Mata pelajaran sains tulen utama dan Matematik Tambahan akan diajar dalam bahasa Inggeris
  • Program ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik
  • Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Sarawak dijangka siap Oktober tahun depan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp