SPM 2023: Pelajar bangga pamer keputusan 6G 2T di laman sosial
“Dik, jangan jadikan kegagalan awak sebagai satu perkara yang perlu dibanggakan di media sosial. Tolonglah simpan sedikit perasaan malu awak sebagai seorang pelajar.”
“Budak zaman sekarang, gagal pun nak bangga. Kalau zaman aku dulu, ada subjek gagal, seboleh-bolehnya tak mahu orang tahu sebab malu.”
“Bahasa Melayu pun dapat G, aku tak boleh fikir apa yang dia belajar kat sekolah.”
“Aku kan tertanya-tanya dengan diri sendiri, gred G yang dia dapat tu, maksudnya segala ilmu yang cikgu beri di sekolah, memang tak sangkut ke?”
“Kalau sampai semua G maknanya kau memang tak belajar ke dik? Ttak masuk akal tau bahasa Melayu pun G.”
Demikian luahan, persoalan dan rasa sedih warga maya terhadap tindakan pelajar lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang mempamerkan keputusan peperiksaannya yang dilihat agak ‘teruk’ di laman sosial.
Dengan mendapat 6G dan 2T bagi lapan mata pelajaran dalam SPM, memang wajarlah dia dikecam sedemikian rupa oleh warganet.
Berdasarkan slip keputusan peperiksaan yang tular, keseluruhan gred yang diperoleh olehnya adalah enam subjek Gagal (G) iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains.
Manakala dua subjek lagi iaitu Pendidikan Seni Visual dan Perniagaan dengan gred Tidak Hadir (T).
Penulis cukup sedih dan bersimpati dengan keputusan adik ini. Apalah perasaan ibu bapa dan guru-guru serta rakan-rakan setelah melihat slip berkenaan.
Apa-apa pun, nasihat warga maya agar dia menduduki semula SPM Ulangan (SPMU) yang dilaksanakan setiap tahun harus diambil serius oleh pelajar terbabit.
Malah, dia juga juga boleh menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian pada tahun-tahun berikutnya.
“Jangan malu kerana inilah masanya untuk awak mendapatkan kembali sijil SPM atau memperbaiki keputusan sendiri,” kata warga maya lagi.