KB01_17062021_KEPUTUSAN_STAM
KB01_17062021_KEPUTUSAN_STAM

STAM 2020: Pengorbanan ibu bapa dan guru, suntik semangat peroleh 9 Mumtaz

Nor Azma  Muhamat Laila
18 Jun 2021 03:58pm
A
A
A

KOTA BHARU - Pengorbanan ayah yang tanpa jemu berulang-alik menghantarnya ke sekolah sejauh 20 kilometer (km) dari rumahnya, membuatkan seorang pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, di sini, nekad belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya mengenggam sembilan mumtaz (cemerlang), dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang diumumkan, semalam.

Teruja dan gembira dengan keputusan yang diperolehinya, Siti Awanis Mohd Fauzi, 19, berkata kejayaannya juga adalah berkat doa yang tidak pernah putus daripada kedua ibu bapanya serta komitmen yang tinggi daripada guru-gurunya.

"Saya nekad belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang setelah melihat pengorbanan ayah (Mohd Fauzi Awang), berulang-alik menghantar saya ke sekolah yang terletak lebih 20 kilometer dari rumah, setiap hari.

"Saya tidak ada banyak rahsia untuk mencapai kejayaan ini, selain mengamalkan solat hajat dan tahajud pada jam 3 pagi setiap hari, serta bangun untuk mengulang kaji pelajaran,” kata anak sulung daripada lima beradik itu, ketika ditemui di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Anak kepada tukang perabot itu berkata, hasil kejayaannya juga adalah kerana komitmen gurunya yang sentiasa memberi latih tubi mengikut modul, bagi memudahkan mengulang kaji walaupun proses pembelajaran dijalankan secara dalam talian, susulan pandemik Covid-19.

"Saya juga akan mencetak bahan rujukan atau latihan yang diberikan itu, untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan, kerana bercita-cita menjadi seorang pendidik.

Sementara itu, Mohd Fauzi, 48, melahirkan rasa syukur dengan kejayaan anaknya itu, yang telah membanggakan dirinya serta isteri, Zaimah Mat Rawi, 44.

"Siti Awanis adalah anak yang baik, rajin membaca buku sejak kecil, cuma pada tahun lalu adalah tahun yang mencabar, kerana mengikuti kelas secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Sejujurnya saya agak risau mungkin PdPR ini boleh memberi kesan terhadap pembelajarannya, oleh itu saya kerap melakukan solat hajat, untuk berdoa memohon kejayaan cemerlang buat dirinya.

"Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dengan pencapaian Siti Awanis yang memperoleh sembilan mumtaz (cemerlang), dan satu jayyid jiddan (sangat baik),” katanya.-- BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok