Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek

STAM 2022 catat peningkatan dengan gred purata nasional 3.13

AZLEENDA SAHALUDIN
18 Apr 2023 01:20pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2022 telah menunjukkan peningkatan dengan gred purata nasional 3.13 jika dibandingkan dengan tahun 2021 iaitu 3.15.

Menterinya, Fadhlina Sidek ketika mengumumkan keputusan itu di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Selangor berkata, gred purata sekolah di bawah KPM pula adalah 2.91 berbanding tahun 2021 iaitu 2.92 yang mana menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01.

“Pencapaian peperiksaan STAM bagi sekolah KPM telah menunjukkan kualiti yang lebih baik.

“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha gigih semua pihak dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru, penyediaan kemudahan bilik darjah yang kondusif, bekalan buku teks dan lain-lain keperluan yang menyokong kepada proses pembelajaran murid,” katanya.

Tambahnya lagi, calon peperiksaan STAM bagi Tahun 2022 yang berdaftar adalah seramai 4,634 orang meliputi calon sekolah KPM seramai 1,363 orang; Sekolah Menengah Agama Negeri (1,941 orang); Sekolah Menengah Agama Rakyat (259 orang); Sekolah Menengah Swasta (36 orang) dan calon persendirian (1,035 orang).

Artikel Berkaitan:


Fadhlina memberitahu, sijil STAM bukan sahaja diiktiraf untuk kemasukan ke program Ijazah Pertama di Universiti Al Azhar Al Sharif, Mesir, tetapi juga untuk kemasukan ke universiti tempatan.

Ujarnya, sijil STAM turut mendapat pengiktirafan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjadikan sijil berkenaan setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selain layak untuk memasuki pekerjaan dalam sektor awam sama seperti pemegang sijil STPM.

Sehubungan itu, Fadhlina memaklumkan, beliau amat menyokong dan menggalakkan pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Timur Tengah, khususnya di Universiti Al- Azhar Al Sharif mahupun universiti tempatan untuk meneruskan hasrat mereka tanpa ragu kerana hala tuju dan laluan masa hadapan yang cerah sedia menanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok