Calon diingatkan membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. FOTO HIASAN.
Calon diingatkan membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. FOTO HIASAN.

STAM 2023 bermula Januari 2024

ROSHLAWATY MD RAIEH
22 Dec 2023 11:11am
A
A
A

Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2023 akan dilaksanakan mulai 2 hingga 4 Januari 2024 serta 8 hingga 11 Januari 2024, demikian maklum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Jumaat.

Semua calon peperiksaan diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my

Dalam masa sama, calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

Malah, mereka juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2023.

Terdahulu, seramai 4,058 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2023 di 131 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Manakala 824 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

Sementara itu, KPM berkata, pihaknya sentiasa cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan STAM berlangsung.

Artikel Berkaitan:

“KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

“Justeru, semua calon peperiksaan STAM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat

peperiksaan berhampiran disebabkan bencana.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” ujar kementerian itu.

Akhir sekali, KPM menegaskan mereka komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM Tahun 2023 dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.

INFO STAM

1) Latar Belakang

Sijil STAM sebagai syarat kelayakan memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menggantikan 26 sijil yang dikeluarkan oleh negeri-negeri secara berasingan.

2) Usahasama

Termeterai Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan yang ditandatangani pada 18 November 1999 antara KPM dan Al-Azhar Al-Syarif.

3) Tarikh Mula

Peperiksaan STAM disebarluas dan dilaksanakan mulai tahun 2000.

4) Kurikulum dan Buku Teks

Diambil daripada Maahad Bu'uth Al-Islamiah Al-Azhar, Republik Arab Mesir.

5) Tiga Bidang

Merangkumi 10 mata pelajaran dalam tiga bidang iaitu Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin.

6) Bahasa Pengantar

Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan peperiksaan.

7) Pengiktirafan

STAM setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pemegang sijil STAM layak memohon ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) dengan sijil ini.

8) Syarat Pensijilan

Sekurang-kurangnya gred Maqbul (Lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.

9) Pangkat Sijil

Mumtaz (Cemerlang)

Jayyid Jiddan (Sangat Baik)

Jayyid (Baik)

Maqbul (Lulus)

10) Pengantarabangsaan

Peperiksaan STAM diperkenalkan di Kemboja mulai 2016.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok