Steven Sim tunai janji, beri hadiah kepada anak angkat cemerlang SPM
Perkongsian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mengenai ganjaran diberikan kepada anak angkatnya yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meraih perhatian warganet.
Anak angkatnya yang dikenali Gajeswaran itu mendapat keputusan 7A dalam SPM 2023.
Menurut Steven Sim, sebelum ini beliau berjanji dengan anak-anak angkatnya untuk memberi hadiah RM50 untuk setiap A yang diperoleh.
Malah Ahli Parlimen DAP itu turut menyalurkan elaun RM100 setiap bulan kepada mereka dengan harapan fokus kepada pelajaran dan tidak bimbang soal kewangan.
"Tahun lalu ada sembilan orang anak angkat ambil SPM dan mendapat sejumlah 23A. Semua saya kasi (beri) hadiah. Rasa sangat-sangat bangga. Macam anak sendiri dapat A.
"Gajeswaran seorang anak yang baik. Dia tau keluarganya bukan orang senang jadi dia usaha sungguh-sungguh di sekolah agar dapat masuk universiti awam," tulisnya pada hantaran Facebook miliknya.
Tambah beliau, anak angkatnya itu bercita-cita menjadi guru dan mahu membantu anak-anak keluarga susah lain untuk berjaya.
Katanya, Gajeswaran gembira permohonan masuk ke matrikulasi berjaya dan kini remaja itu selangkah lebih dekat mencapai cita-cita untuk masuk universiti.
Gembira dengan keputusan yang diperoleh Gajeswaran, Steven yang juga Menteri Sumber Manusia turut menghadiahkan komputer riba baharu kepada anak angkatnya itu untuk digunakan bagi menyambung pengajian tidak lama lagi.
"Saya tau dia nak masuk matrik kena ada komputer riba dan tak sanggup nak minta dengan ayah dan ibu sebab dia tahu mereka perlu tanggung perbelanjaan dua orang adik yang masih bersekolah.
"Walaupun bukan anak sendiri, saya tahu hati seorang anak. Tak apa, ayah angkat belikan laptop baru," kongsinya lagi.
Sementara itu, rata-rata warganet memuji sikap pemurah dan prihatin Ahli Parlimen itu kepada golongan pelajar yang memerlukan di kawasannya.
"Teruskan buat kebaikan, jalan terus YB," kata Abdul Kuduz.
Mali Muyung pula bertanya kepada Steven "boleh tak saya nak jadi anak angkat YB?"
Mohamad Hanis Naszari pula berkata, untung Malaysia ada wakil rakyat macam YB.