Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid

Syarat kemasukan ke MRSM dikembalikan kepada asal

Mohd Khairi Mohamad Yusri
07 Sep 2021 10:20am
A
A
A

PADANG TERAP - Demi menghayati semangat 'Keluarga Malaysia', kerajaan minggu ini telah bersetuju untuk menarik balik syarat baharu kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang diumumkan sebelum ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat 'Keluarga Malaysia'.

"Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.

Datuk Seri Mahdzir Khalid


"Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Keperibadian pelajar,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hospital Kuala Nerang, Kedah, baru-baru ini.

Mahdzir turut berkata, dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan akan dibuat.

Jelas beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi diterapkan MRSM, telah menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.

"Kita berterima kasih kepada masyarakat di luar sana yang memberikan pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi Sistem Pendidikan yang ada di MRSM,” ujar beliau.

MRSM menurutnya, menerima permohonan berjumlah 77,834 bagi Tingkatan Satu tetapi hanya mampu menampung 7,500 pelajar manakala bagi pelajar Tingkatan Empat pula sebanyak 2,000 kekosongan disediakan bagi setiap sesi pengambilan tahunan berbanding permohonan yang diterima iaitu 24,495 untuk sesi kemasukan 2021.

Tambah Ahli Parlimen Padang Terap itu lagi, dasar Majlis Amanah Rakyat (MARA) mensasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.


Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

"Sistem Pendidikan MRSM adalah bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar Bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.

"Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain daripada aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar. MRSM mengumpulkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari dengan ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP),” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok