zaidi4
zaidi4

Tahniah Profesor Ts Dr Zaidi! Tersenarai antara 30 OKU berjaya terbitan ISM

Norliza WasilanNorliza Wasilan
21 Oct 2022 03:05pm

Meskipun menghidap penyakit, iaitu kerosakan otot disebabkan faktor genetik sehingga memaksanya bertongkat dan akhirnya berkerusi roda, namun ia tidak pernah menghalang Profesor Ts Dr Zaidi Embong untuk berjaya.

Kisah kejayaan Zaidi yang juga staf akademik Majlis Profesor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu dipaparkan dalam buku Tiada Yang Mustahil Kisah Kejayaan OKU (Edisi Kedua) terbitan Institut Sosial Malaysia (ISM).

Beliau menerima penghormatan itu berdasarkan kepakarannya dalam bidang fizik dan banyak memberi sumbangan menerusi kajian yang multi disiplin.

Berkongsi perjalanan hidupnya, menurut Zaidi, beliau adalah seorang yang sangat aktif dan banyak terbabit dalam sukan dan badan beruniform.

Bagaimanapun, ujarnya, semuanya berubah apabila beliau dalam tahun akhir pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Bristol, England.

Ketika itu, tambahnya, doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit Miyoshi Dystropy sehingga mengakibatkannya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Namun begitu, saya tidak menjadikan kekurangan ini sebagai penghalang untuk terus bergerak ke hadapan sebagai seorang pendidik dan penyelidik yang berjaya,” ujarnya seperti dipetik portal berita UTHM, baru-baru ini.

Zaidi bersama Rina ketika Majlis Citra Tiga Warta di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Foto/UTHM.

Buku terbitan ISM itu dilancarkan bersama dua lagi buku iaitu Isu Polisi dan Perundangan Sosial di Malaysia serta Refleksi Pekerja Sosial: Sebuah Praktis di Kota Metropolitan yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Haron pada Majlis Citra Tiga Warta, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah ISM, Dr Faridah Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, KPWKM, Nordina Haron yang juga alumni UTHM.

Kisah kejayaan Zaidi yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu adalah melalui slot akademik bersama 29 lagi tokoh mengikut bidang masing-masing iaitu kemasyarakatan, kesenian, keusahawanan dan sukan.

Antaranya penyanyi kumpulan Caliph Buskers, Khairul Azmi Mohd Saat; atlet emas sukan angkat berat Paralimpik Malaysia, Bonnie Bunyau Anak Gustin dan jaguh emas badminton Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Like Hou.

Rina menunjukkan sokongannya kepada Zaidi seperti yang tertulis di halaman ini. Foto/UTHM.

Selain aktif dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, Zaidi juga giat berkongsi kepakarannya bersama masyarakat dengan memenuhi jemputan seminar dan bengkel anjuran pelbagai pihak.

Mengulas mengenai buku berkenaan, Zaidi berharap ia akan memberikan inspirasi kepada masyarakat.

“Saya berharap buku ini juga akan menjadi rujukan kepada golongan sasaran seperti OKU, pekerja dan pengamal kerja sosial,” tuturnya.

Artikel berkaitan

Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik

22 penyelidik UMP tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia

Guru Cemerlang kongsi petua melahirkan anak-anak hebat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp