Tebus baucar buku Madani hanya dalam talian
Penebusan baucar Buku Madani dilakukan secara dalam talian sepenuhnya bagi mengelakkan isu ketirisan yang pernah berlaku sebelum ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penebusan baucar boleh dibuat oleh pelajar menerusi pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia' (DELIMa) dan buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat pelajar.
"Dahulu mungkin ada isu ketirisan iaitu sebelum 2018 yang mana penerima pergi ke kedai buku hanya buat pembelian RM30 manakala baki RM70 diambil semula.
"Kita tahu di sini timbul isu ketirisan sebab itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ambil langkah lakukan penebusan baucar secara dalam talian sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang, Pulau Pinang pada Selasa.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan 'Smart Board' yang disumbangkan pihak swasta kepada 13 sekolah dalam daerah Timur Laut membabitkan jumlah bernilai RM221,000.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, pihaknya juga yakin penebusan baucar buku Madani secara dalam talian ini juga dapat memberi manfaat kepada penulis, penerbit dan pengusaha buku sekali gus mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih efisien.
Jelasnya, langkah itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar untuk mendapatkan bahan bacaan malah turut membantu mencungkil minat membaca dalam kalangan generasi muda.
"Kita berharap inisiatif ini akan menjadi langkah positif dalam memperkukuh budaya membaca dan mencegah sebarang ketirisan yang pernah berlaku pada masa lalu," katanya.