Tebus baucar buku melalui aplikasi DELIMa KPM
Baucar buku yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam, boleh ditebus menerusi aplikasi DELIMa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut KPM dalam kenyataan media, murid dan pelajar dikehendaki mendaftar masuk (log masuk) aplikasi DELIMa menggunakan Dokumen Pengenalan Diri (ID) dan kata laluan sebelum menekan ikon Kota Buku Digital.
"Mereka perlu mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing.
"Kemudian, mereka boleh memilih judul disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutama daripada Judul Cadangan MADANI.
"Setelah selesai memilih, masing-masing dikehendaki daftar keluar (check-out) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit),” kata KPM dengan memaklumkan buku yang dibeli akan dihantar ke alamat didaftarkan.
Sementara itu, KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman pemberian baucar buku RM50 kepada murid Tahun Empat hingga Tahun Enam; RM100 kepada pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pegajian tinggi (IPT) dan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
"Pengumuman itu mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.
"Ia juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca mereka menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat.
"Pemberian baucar buku tersebut adalah langkah ke hadapan yang menjadi pencetus kepada melahirkan generasi berilmu, pewaris masa hadapan Malaysia MADANI,” ujarnya.