Tegas tangani isu gejala seksual babit komuniti sekolah - KPM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa kekal tegas dalam tindakan tatatertib yang diambil berhubung isu kesalahan seksual melibatkan komuniti sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebaik sahaja Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara, KPM sentiasa tegas dalam menangani isu ini menerusi pengeluaran dan pengukuhan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Kalau kita dapati berlaku (gejala seksual) dalam kalangan warga KPM sendiri, memang kita sudah buat penegasan tatatertib ini, iaitu ‘you touch you go"
"Pada masa yang sama, saya ingatkan laporan oleh ahli keluarga dan juga penegasan-penegasan advokasi dalam masyarakat ini mesti terus dipertingkatkan supaya gejala seperti ini dapat kita kawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Terengganu, pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi terkini gejala seksual melibatkan komuniti sekolah, dengan kes terbaharu seperti dilaporkan media berhubung dakwaan seorang pelajar perempuan di Besut menjadi mangsa rogol dan amang seksual oleh tiga rakan lelaki sekolahnya, Februari lepas.
Fadhlina berkata, KPM sentiasa memandang serius sebarang gejala sosial melibatkan pelajar termasuk isu rokok elektronik atau vape dan rokok.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan komuniti agar memainkan peranan masing-masing terutama sekali sekiranya kes gejala sosial itu timbul di luar kawasan sekolah.
"(Masalah gejala sosial) Yang dalam sekolah ini memang dalam kawalan kita... sebab kita ada tindakan dan tatatertib yang kita panggil sebagai proses kerja, tetapi di luar itu, juga perlukan komitmen dan kawal selia ibu bapa dan komuniti."
"Berkenaan larangan penjualan rokok dan vape terhadap individu bawah 18 tahun pula, perkara itu kita kena sentiasa ingatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Khamis lepas, media melaporkan semakin ramai pelajar di Johor Bahru dikhuatiri ketagih menghisap vape mengandungi ‘magic mushroom’ yang mudah didapati.
Bulan lepas juga seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat di Kemaman dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dipercayai menghisap vape, bagaimanapun Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin mengesahkan tiada kesan dadah ditemui dalam sampel darah pelajar berkenaan. - Bernama