Untitled design (5)
Untitled design (5)

“Teruskan perjuangan dan yakin boleh” - Ini kata-kata semangat para guru untuk calon UPKK 2022

Roshlawaty Md Raieh
30 Nov 2022 12:28pm
A
A
A

Minggu ini bermulalah perjuangan murid-murid Tahun Lima dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Tahun 2022 yang dijadualkan berlangsung bermula 29 November hingga 5 Disember ini.

Dalam mengharungi musim peperiksaan, Sinar Bestari percaya pelbagai perasaan sedang bermain dalam fikiran murid-murid.

Ada sesetengah murid melahirkan rasa bimbang untuk menduduki UPKK.

Tidak kurang juga, ada dalam kalangan mereka berhadapan situasi tidur tidak lena, tiada selera makan dan sebagainya hanya kerana memikirkan peperiksaan tersebut.

Bagi menghilangkan rasa cemas dan gelisah calon-calon peperiksaan, Sinar Bestari kongsikan petikan kata-kata semangat cikgu-cikgu di Malaysia untuk calon UPKK 2022.

Diharapkan dengan nasihat dan motivasi diberikan ini, ia dapat membakar semangat para murid sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jom ikuti sebahagian ucapan daripada mereka.

1) “Anak didikku, usaha mendidik telah dicurahkan sepanjang persekolahanmu oleh ustaz dan ustazah. Pelbagai gaya, kreativiti dan inovasi dilakukan guru. Kini masanya anak didikku meluahkan ilmu yang didapati di atas kertas UPKK. Doa kepada ALLAH. Selawat atas junjungan. Keredhaan atas peluk cium ibu bapa. Keberkatan atas ustaz dan ustazah. Yakin kejayaan akan tercapai atas usaha yang anak-anakku lakukan.” - Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar, Kota Tinggi, Johor, Cikgu Zaini Ibrahim.

Cikgu Zaini

2) “Salam cemerlang untuk murid yang mengambil UPKK. Inilah masa untuk membuktikan penguasaan tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan dalam bidang Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab serta Lughah al-Quran. Yakinlah ilmu yang telah dipelajari ini dapat diterjemahkan dengan cemerlang. Insya-ALLAH, berkat ketekunan dan kerajinan mendalami pengajian bersama-sama ustaz dan ustazah, UPKK ini akan menghadirkan kejayaan cemerlang kepada diri semua calon. Kuat semangat dan yakin boleh! - Guru Pemulihan Khas, SK Tenglu, Mersing, Johor, Cikgu Roslee Abdul @ Mohd.

Cikgu Roslee

3) "Yakini diri, ikhlaskan hati dan tawakal pada pengakhiran nanti. Insya-ALLAH, semuanya akan dipermudahkan ilahi. Tiada kejayaan tanpa usaha yang berterusan dan semuanya akan bermula dengan satu keazaman, ketekunan serta kesungguhan. Selamat maju jaya kepada semua calon UPPK seluruh Malaysia terutamanya anak-anak KAFA SK Danau Kota (2), Kuala Lumpur.” - Guru SK Danau Kota (2), Cikgu Abd Rahim Yahya.

Cikgu Abd Rahim

4) "Semoga anak-anak yang menduduki UPKK 2022 akan beroleh kejayaan cemerlang, bukan sahaja cemerlang di dunia malah cemerlang juga di akhirat. Aamiin.” - Penolong Kanan Pentadbiran SK Seri Saujana, Kota Tinggi, Johor, Cikgu Norrizah Abu Samah.

Cikgu Norrizah

5) “Ustaz berharap semua calon dapat mulakan dengan bismillah sebelum menduduki peperiksaan. Cuba sehabis baik untuk menjawab soalan yang mudah dahulu. Insya-ALLAH, semoga mumtaz milik semua.” - Guru Bahasa Arab, SK Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan.

Ustaz Quszaini

6) "Moga anak-anak Tahun Lima beroleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPKK terutama anakanda Dhiya Nur Safiyya.” - Guru SK Jengka Pusat 2, Pahang, Cikgu Mohamad Safuan Rozak.

Cikgu Mohamad Safuan

7) "Ustazah bonda doakan semua anak-anak yang menduduki UPKK 2022 beroleh kecemerlangan dengan menggenggam 8A.” - Guru UPKK (Sirah), Sekolah Rendah Agama Puncak Alam, Selangor, Ustazah Munera Hashim.

Ustazah Munera

Sepanjang UPKK 2022 berlangsung sebanyak lima subjek yang diduduki murid-murid.

Subjek-subjek tersebut terdiri daripada mata pelajaran Sirah, Jawi dan Khat pada 29 November; Adab Kertas 1 dan Kertas 2 pada 30 November serta subjek Lughah al-Quran 1 Disember.

Bagi subjek terakhir iaitu Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah), ia dijadualkan berlangsung 5 Disember ini.

Artikel berkaitan

Subjek Ulum Syari’ah UPKK dipinda 5 Disember 2022

10 soalan lazim yang sering ditanya ibu bapa sebelum calon menduduki ujian

Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon peperiksaan tahun ini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok