HomeBuletin10 soalan lazim yang sering ditanya ibu bapa sebelum calon menduduki ujian

10 soalan lazim yang sering ditanya ibu bapa sebelum calon menduduki ujian

Baru-baru ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memuat naik pengumuman berkenaan tarikh semakan beberapa ujian bagi Tingkatan Satu dan Empat, Tahun 2023.

Ujian-ujian tersebut merupakan Ujian Kecenderungan Kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab, Ujian Teknikal dan Ujian Khas International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Mereka yang berjaya dalam semakan pada 23 November lalu akan menduduki ujian sesi pertama secara berperingkat bermula 27 November hingga 16 Disember ini.

Bagi memudahkan persediaan para pelajar sebelum menduduki ujian tersebut, Sinar Bestari senaraikan 10 soalan lazim yang sering ditanya oleh ibu bapa calon berkenaan perkara tersebut.

Jom lihat apakah bentuk soalan yang sering dikemukakan oleh mereka.

1) Di manakah saya boleh membuat semakan tarikh dan panggilan UKKM, Ujian Khas Ulul Albab, Ujian Teknikal dan Ujian Khas IGCSE untuk anak saya?

JAWAPAN – MARA akan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada nombor telefon yang telah didaftarkan dalam sistem permohonan MRSM sebelum tarikh ujian dan calon boleh membuat semakan tarikh dan pusat ujian masing-masing melalui pautan https://www.mara.gov.my

Di sini, disertakan tarikh ujian secara berperingkat seperti berikut:
Sesi 1: November dan Disember 2022
Sesi 2: Januari 2023
Sesi 3: Februari 2023

2) Melalui semakan UKKM, saya dapati nama anak saya tiada dalam senarai tersebut. Adakah anak tidak akan dipanggil menduduki ujian berkenaan?

JAWAPAN – Semua calon Tingkatan Satu dan Empat yang telah membuat permohonan MRSM secara dalam talian (online) akan dipanggil untuk menduduki ujian secara berperingkat bermula 27 November ini hingga 17 Februari 2023.

3) Apakah dokumen atau keperluan yang perlu calon bawa semasa menghadiri ujian-ujian ini?

JAWAPAN – Calon diwajibkan membawa:
i. Dua salinan surat panggilan menduduki UKKM/ Ujian Khas Ulul Albab/ Ujian Teknikal/ Ujian Khas IGCSE.
ii. Kad pengenalan calon (MyKad/MyKid).
iii. Satu salinan slip gaji ibu dan bapa atau penjaga terkini atau borang pengesahan pendapatan mereka yang disahkan (jika tiada slip gaji/ bekerja sendiri/ lain-lain).
iv. Satu salinan keputusan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang disahkan.
v. Alat tulis (pensil 2B atau pensil BB, pemadam dan pengasah pensil).
vi. Kalkulator saintifik (bagi subjek Matematik untuk calon Tingkatan Empat sahaja).

4) Apakah subjek UKKM yang terlibat dalam ujian tahun ini?

JAWAPAN – UKKM merangkumi subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Keperibadian (format soalan objektif).

5) Sekiranya anak saya demam atau batuk, bolehkah dia menduduki ujian berkenaan?

JAWAPAN – Ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab bagi memastikan calon yang dihantar ke pusat ujian UKKM adalah sihat dan bebas daripada jangkitan Covid-19 dan tidak bergejala. Calon dikehendaki menghubungi pusat ujian ketidakhadiran menduduki ujian terbabit.

6) Sekiranya calon perlu menduduki UKKM pada waktu petang, bolehkah calon hadir ke pusat ujian seawal pagi?

JAWAPAN – Hanya calon yang terlibat pada waktu ujian yang telah ditetapkan akan dibenarkan masuk ke pusat ujian UKKM. Sebagai peringatan, calon perlu berada di pusat ujian UKKM, 30 minit lebih awal untuk taklimat ujian.

7) Bolehkah kami sebagai ibu bapa atau penjaga menghantar atau menemani anak-anak yang menduduki UKKM?

JAWAPAN – Ibu bapa atau penjaga hanya dibenarkan menghantar calon ke pusat ujian UKKM yang telah ditetapkan secara drop-off.

8) Apakah pakaian yang boleh dipakai oleh calon semasa menghadiri ujian tersebut?

JAWAPAN – Calon dikehendaki memakai pakaian seragam sekolah atau berpakaian kemas dan berkasut serta mematuhi peraturan-peraturan semasa berada di pusat ujian.

9) Adakah calon dibenarkan membawa telefon bimbit, telefon pintar atau gajet ke pusat ujian UKKM?

JAWAPAN – Calon dibenarkan membawa telefon bimbit atau telefon pintar ke pusat ujian UKKM untuk menghubungi ibu bapa atau penjaga selepas selesai ujian.
Calon tidak dibenarkan menyalahgunakan telefon pintar semasa ujian berlangsung.

Calon yang ditangkap meniru, menipu menyalahgunakan telefon pintar dan gajet semasa UKKM berlangsung akan dihalang daripada menduduki ujian tersebut dan seterusnya disenarai hitam untuk kemasukan ke MRSM.

10) Bolehkah calon membawa makanan dan minuman ke pusat ujian UKKM?

JAWAPAN – Calon dibenarkan membawa bekalan makanan dan minuman sendiri untuk dimakan dan minum pada waktu rehat.

Artikel berkaitan 

Subjek Ulum Syari’ah UPKK dipinda 5 Disember 2022

Tip siapkan FYP bagi pelajar tahun akhir

Analisis item soalan, perlukah dilakukan selepas peperiksaan?


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok