Fadhlina
Fadhlina

Tiada keperluan mansuh STPM - Fadhlina

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
28 Mar 2023 12:51pm
A
A
A

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan, tiada keperluan untuk memansuhkan pendidikan Tingkatan Enam dan STPM.

“Tingkatan Enam, mencakupi peperiksaan STPM yang ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) adalah selaras dengan Akta Pendidikan 1996 dan diberi jaminan ia mesti wujud serta diteruskan.

“Kewujudannya bertujuan memastikan murid peringkat menengah atas mendapat kualiti pendidikan setanding piawaian antarabangsa...STPM itu sendiri diiktiraf Cambridge Assessment International Education.

“Seluruh Universiti Awam di negara kita iktiraf kelulusan ini malah lebih 2,000 universiti seluruh dunia iktiraf sijil STPM, jadi lulusan Tingkatan Enam boleh lanjut pelajaran ke mana-mana sahaja dalam negara, luar negara, Amerika Syarikat, semua negara Komanwel juga Timur Tengah,” katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan Usul Menjujung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara baru-baru ini.

Pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan STPM dan menggantikannya dengan program Matrikulasi.

Beliau menambah, pendidikan Tingkatan Enam mempunyai sasaran dan matlamat tersendiri berbanding program Matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Malaysia.

“Tingkatan Enam ini bertujuan memberi akses seluas-seluasnya pada lepasan menengah, murid, menerusi 643 pusat Tingkatan Enam pelbagai mod pembelajaran di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Malah KPM juga akan luaskan Kolej Tingkatan Enam yang dirancang di Pahang iaitu di Kolej Astana, Kuantan dan satu lagi di Sri Lipis, di samping pembinaan Kolej Tingkatan Enam di Kelantan yang telah lulus peruntukan pembinaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok