Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek

Tiada masalah teruskan operasi kantin sekolah pada Ramadan - Fadhlina

AZLEENDA SAHALUDIN
21 Mar 2023 06:05pm
A
A
A

Tidak lama lagi masyarakat Islam seluruh negara bakal menyambut bulan Ramadan yang menyaksikan umatnya menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara membatalkan puasa.

Suasana ini dirasai oleh semua golongan termasuklah pelajar sekolah sama ada rendah atau menengah.

Melihat kepada kepelbagaian kaum dan budaya yang wujud di negara ini, pengurusan sekolah wajar untuk meneruskan operasi kantin masing-masing seperti biasa pada bulan mulia tersebut dengan mendapat persetujuan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengusaha kantin serta dimaklumkan kepada ibu bapa dan murid.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tiada sebarang masalah meneruskan pengoperasian kantin sepanjang Ramadan lebih-lebih lagi untuk murid bukan beragama Islam.

“Mengapa perlu menutup kantin? Mereka tidak terbabit dalam amalan ibadah berpuasa seperti orang Islam.

“Mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang hanya melihat anak-anak orang Islam berpuasa, biarlah mereka meneruskan aktiviti masing-masing,” katanya kepada media pada Majlis Pengoperasian Pembukaan Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan (RPS) Betau, Pahang.

Fadhlina turut menegaskan beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan sekolah antaranya Jawatankuasa Hal Ehwal Murid (HEM) memantau pengoperasian kantin sekolah dengan memastikan penjualan makanan berkualiti dan bernutrisi serta jualan makanan mencukupi.

Beliau menambah, pengusaha kantin juga tidak boleh menjual makanan dan minuman yang dilarang berdasarkan senarai dikeluarkan oleh KPM melalui surat bertarikh 15 Mac 2017 serta menjual makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan berdasarkan harga yang ditetapkan dalam sebut harga.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok