Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Sumber foto: Facebook Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Sumber foto: Facebook Fadhlina Sidek

Tiada perubahan takwim persekolahan dalam masa terdekat

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
13 Feb 2023 03:21pm
A
A
A

Langkah bagi mengembalikan semula takwim persekolahan yang bermula pada Januari seperti sebelum ini tidak akan dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, banyak faktor perlu diambil kira pihaknya sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan hal pengembalian takwim sesi sekolah bermula Januari itu.

Ujar Fadhlina, setakat ini perbincangan ke arah itu sedang diadakan namun mengambil sedikit masa kerana terdapat perkara lain perlu diselesaikan terlebih dahulu mengikut Akta Pendidikan 1996.

"Kita akan kembalikan takwim sekolah bermula Januari tapi bukan sekarang kerana perlu mengambil kira beberapa sebab terutamanya berkaitan kitaran kanak-kanak yang belum habis.

"Antara isu lain adalah bilangan hari persekolahan seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan iaitu tidak boleh kurang daripada 190 hari.

Fadhlina Sidek (dua dari kanan) di Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan. Sumber foto: Facebook Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek (dua dari kanan) di Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan. Sumber foto: Facebook Fadhlina Sidek

"Selain itu terdapat bebarapa faktor lain yang harus ditumpukan KPM seperti ekonomi, kebajikan guru dan pelbagai lagi," ujarnya pada Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan 2023 baru-baru ini.

Dalam masa sama, Fadhlina memberitahu, perubahan takwim sekolah juga harus mengambil kira faktor seperti banjir hujung tahun selain jadual peperiksaan yang berada dalam kalendar akademik.

Artikel Berkaitan:

Ulas beliau, KPM tidak mahu mengganggu tumpuan anak-anak yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Perkara mana yang perlu diberi perhatian akan diutamakan KPM sebelum kita boleh kembalikan takwim sekolah bermula Januari," katanya.

Sebelum ini sesi persekolahan telah diubah kerana penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan takwim bagi sesi 2022/2023 bermula pada Mac 2022.

Takwim bagi sesi persekolahan baharu untuk 2023/2024 akan bermula pada 10 dan 11 Mac depan mengikut negeri.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok