Untitled2
Untitled2

Tidak tahu cara semak keputusan SPM 2020, ikuti langkah mudah yang dikongsikan ini

Nor Azma  Muhamat Laila
08 Jun 2021 05:06pm
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 401, 105 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan dapat menyemak keputusan masing-masing bermula jam 10 pagi, Khamis ini dalam norma baharu secara dalam talian melalui tiga kaedah yang dikongsikan Kementerian Pendidikan (KPM).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Anismah M. Noh berkata, tiga kaedah berkenaan ialah membuat semakan keputusan secara dalam talian melalui

pautan myresult1.moe.gov.my, myresult2.moe.gov.my, atau perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS).

Katanya pelajar yang menggunakan perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 boleh berbuat demikian dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 68886.

"Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 10 Jun 2021 dan akan ditamatkan pada jam 6 petang 16 Jun 2021.

"Semakan melalui myresult1.moe.gov.my, myresult2.moe.gov.my dan SMS ini adalah keputusan sementara.

“Bagi mendapatkan semakan keputusan penuh yang lengkap dengan logo KPM dan kod QR, pelajar boleh berbuat demikian melalui myresult3.moe.gov.my selepas empat hari pengumuman keputusan peperiksaan iaitu pada 14 Jun 2021," katanya kepada GPSBestari, di sini, hari ini.

 

Ikuti langkah mudah ini bagi mendapatkan keputusan SPM 2020.

Seramai 72,493 calon SPM di Selangor akan mendapat keputusan masing-masing pada Khamis ini secara dalam talian bagi mengekang penularan Covid-19 di institusi pendidikan seluruh negara.

Anismah berkata, bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet di rumah, pihak sekolah akan mengenal pasti calon yang berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing.

"Ini termasuk calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet di rumah, pihak JPN atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan mengenal pasti calon yang berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing.

"Memandangkan keputusan kali ini dibuat dalam norma baharu, saya berharap supaya ibu bapa lebih peka dengan sebarang maklumat yang dikongsikan oleh KPM, JPN, PPD atau pihak sekolah supaya tidak ada pelajar yang tercicir mendapatkan keputusan SPM masing-masing," katanya lagi.

Beliau berkata, sistem untuk membuat semakan keputusan SPM itu akan ditutup selepas enam hari iaitu pada 16 Jun 2021 dan sekiranya pelajar masih mempunyai sebarang masalah berbangkit, mereka diminta berhubung melalui telefon dengan pihak sekolah, PPD atau JPN.

"Jangan datang ke sekolah kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, tiada sekolah yang dibuka apatah lagi pergerakan kita semua terbatas kerana sekatan rentas daerah dan negeri.

"Oleh itu, saya berharap pelajar dan ibu bapa mencari kaedah sesuai untuk mendapatkan keputusan masing-masing supaya calon SPM boleh mendapatkan keputusan penuh bagi membuat permohonan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Menurut Anismah lagi, bagi calon yang ingin membuat semakan semula keputusan peperiksaan mereka, boleh berbuat demikian secara dalam talian.

"Saya bagi pihak KPM mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai, guru-guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) di negeri Selangor yang terlibat dalam pengendalian SPM 2020," kata beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok