Pemberian bantuan kepada pelajar yang layak banyak membantu meringankan beban.
Pemberian bantuan kepada pelajar yang layak banyak membantu meringankan beban.

Tiga bantuan sekolah wajib ambil tahu

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Feb 2024 05:57pm
A
A
A

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 berjumlah RM150 selesai disalurkan kepada sekolah Januari lalu.

Bagaimanapun, ada sebahagian sekolah yang mungkin akan diagihkan kepada ibu bapa dan penjaga bulan ini, atas sebab-sebab tertentu.

Bantuan persekolahan itu mampu membantu kewangan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan keperluan dan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Selain BAP, terdapat beberapa lagi bantuan sekolah yang perlu diberi perhatian ibu bapa dan penjaga dalam meringankan beban perbelanjaan.

Sinar Bestari senaraikan di sini sebagai rujukan bersama.

1) Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

RMT adalah pemberian makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah terutamanya dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, peningkatan peruntukan bagi RMT adalah sebanyak 25.33 peratus iaitu dari RM625,765,000 pada tahun 2023 kepada RM784,295,100 ( 2024).

Artikel Berkaitan:

Dengan peningkatan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan program dapat dilaksanakan khususnya daripada kumpulan B40 untuk mendapat mengkhususkan dan keutamaan dalam RMT.

2) Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK)

EMK telah mula diperkenalkan pada 2005 bertujuan meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dan penjaga murid-murid berkeperluan khas (OKU).

Penerima bagi EMK terdiri daripada:

  • Murid warganegara Malaysia
  • Murid OKU yang bersekolah di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah di Sekolah Kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) serta pelajar di Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional.
  • Memegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
  • Tidak menerima sebarang biasiswa atau elaun /insentif kewangan lain daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Sebanyak RM199 juta diperuntukkan pada Belanjawan 2024 berbanding RM181 juta tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, kadar bantuan setiap penerima adalah sebanyak RM150 sebulan selama setahun (tertakluk kepada jumlah bulan yang melayakkan murid menerima EMK pada tahun tersebut).

3) Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) 2024

BKP merupakan biasiswa yang telah diperkenalkan sejak tahun 1970-an lagi.

Biasiswa ini diperkenalkan untuk meningkatkan motivasi dan memberi perangsang kepada murid daripada golongan keluarga berpendapatan rendah.

Ini bagi mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum sepanjang persekolahan di peringkat sekolah menengah.

Perubahan kelayakan baharu untuk penerima biasiswa ini akan memberi peluang kepada tambahan 35,000 lagi murid daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat biasiswa berkenaan.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan BKP mengikut kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

Kadar pemberian biasiswa ini adalah:

  • Tingkatan Satu hingga Empat: RM70 sebulan x 12 bulan
  • Tingkatan Lima: RM70 sebulan x 11 bulan
  • Tingkatan Enam Rendah (Aliran Sains): RM110 sebulan x tujuh bulan.
  • Tingkatan Enam Atas (Aliran Sains): RM110 sebulan x 11 bulan.
  • Tingkatan Enam Rendah (Aliran Sastera): RM90 sebulan x tujuh bulan
  • Tingkatan Enam Atas (Aliran Sastera): RM90 sebulan x 11 bulan

Syarat kelayakan

  • Warganegara Malaysia
  • Tingkatan Satu hingga Enam yang bersekolah di SK dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK)
  • Pendapatan ibu bapa/penjaga RM2,589 sebulan dan ke bawah
  • Cemerlang dalam akademik dan kokurikulum mengikut merit yang ditetapkan
  • Tidak menerima sebarang biasiswa atau elaun /insentif kewangan lain daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan

Akhir sekali, kaedah penyaluran biasiswa akan dibuat KPM terus ke akaun pelajar yang layak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok