WhatsApp Image 2021-07-09 at 14.52.09 (2)
WhatsApp Image 2021-07-09 at 14.52.09 (2)

Tindakan proaktif, resepi kejayaan murid

A
A
A

Pada era kemajuan dunia hari ini, Malaysia menghadapi pelbagai kekangan dalam merealisasikan sistem pendidikan agar sentiasa berada dalam keadaan stabil.

Sejak tahun lalu, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), tidak lagi berlangsung seperti biasa.

Keadaan dunia yang dilanda virus Covid-19 ini, telah mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), untuk melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Senario ini, telah memberi tamparan hebat buat para guru di sekolah rendah apabila ada segelintir ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab dan tugasan mendidik anak-anak mereka kepada guru-guru.

Ramai yang tidak sedar bahawa kejayaan setiap murid terletak kepada sikap yang dipupuk dalam diri mereka sendiri.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Tanpa usaha dan tindakan proaktif daripada mereka, maka kejayaan tidak akan datang dengan sendirinya.

Menurut Kaunselor Pendidikan Daerah dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kuala Kangsar, Perak, Mohamad Yazid Abdul Wahab, murid-murid memerlukan strategi asas yang mantap bagi membentuk diri menjadi seorang individu yang berjaya.

“Setiap murid perlu menyemai sikap positif dalam diri kerana pemikiran yang positif akan membawa mereka ke arah kecemerlangan diri,” ujarnya.

Sikap positif dan perjuangan tanpa putus asa dalam menimba ilmu adalah kunci kepada kecemerlangan murid. Tanpa sikap positif dalam diri, murid-murid tidak akan berjaya dalam mencapai apa yang diimpikan.

Yazid berkata lagi, murid-murid perlu mempunyai tabiat yang baik semasa mengikuti kelas yang berlangsung. Tumpuan dan perhatian perlu diberikan sepenuhnya semasa sesi pembelajaran dijalankan. Sikap ini sangat penting bagi menunjukkan rasa ingin belajar sekali gus menghormati ilmu yang disampaikan oleh guru.

“Persediaan sebelum proses pembelajaran bermula juga sangat penting di mana murid-murid perlu menunjukkan minat terhadap setiap subjek walaupun ia merupakan subjek yang sukar untuk dikuasai,” ujarnya lagi.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Susulan itu, setiap murid perlulah mempunyai sikap ingin tahu di mana sikap ini akan mendorong seorang murid untuk tampil berani mengemukakan soalan kepada para guru yang mengajar. Perkara baharu yang dipelajari adalah peluang untuk murid-murid mengorak langkah ke hadapan.

Sehubungan itu, murid-murid yang berwawasan dan beretika perlu melaksanakan setiap tugasan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Sikap ini secara tidak langsung akan membentuk murid-murid menjadi seorang individu yang berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar.

Bagaimanapun, murid yang berjaya adalah murid yang bijak menguruskan masa dengan baik dengan menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan guru dengan segera.

Melalui pengurusan masa teratur, murid-murid akan terhindar daripada tekanan dan ketidakstabilan emosi.

“Masa di sekolah rendah merupakan masa yang sangat berharga untuk murid-murid dalam usaha membina diri menjadi insan yang berilmu, beradab, berkemahiran dan bersahsiah mulia demi kejayaan pada masa akan datang,” tambahnya lagi sebelum mengakhirkan perbicaraan.

Sumber: Didik TV, Apakah Pengurusan Asas Sebagai Murid Sekolah Rendah?

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok