
Tingkatan 6, Matrikulasi diiktiraf sebagai pendidikan tinggi bermula 2027 - PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan 6 dan Matrikulasi bermula tahun depan.
Beliau berkata, langkah itu sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok secara rasmi adalah pelajar pendidikan tinggi.
"Jadi, pelajar Tingkatan 6 dan Matrikulasi bukan lagi pelajar sekolah...mereka sudah masuk kategori pendidikan tinggi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan turut menangani isu kontroversi tahunan berkaitan peluang kemasukan ke kursus pilihan yang sering terhad terutama dalam kalangan pelajar kaum minoriti yang mencatat keputusan cemerlang tetapi berdepan kekangan tempat.
Bagi memastikan keadilan peluang, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah meminta universiti menambah 1,500 tempat baharu dalam kursus popular.
Beliau berkata, selepas rundingan lanjut, universiti terbabit bersetuju menambah tempat baharu merangkumi bidang undang-undang, perakaunan, kewangan dan perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan, ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, komunikasi, pengajian media, sains data, analitik data serta sains komputer.
Selain itu, bagi mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pelajar, Anwar berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada pelajar Asasi dan Matrikulasi seperti lazimnya namun jaminan sama turut diberikan kepada pelajar Tingkatan 6 yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berprestasi tinggi.
"Kita juga telah beri jaminan supaya pelajar-pelajar Tingkatan 6 STPM diberi juga keutamaan untuk mendapatkan tempat di universiti...ini bagi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
"Kalau 4.0, sedaya upaya universiti akan beri tempat walaupun kadang-kadang pilihan kursus itu tertakluk kepada keupayaan universiti," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil alih sistem pendidikan prauniversiti Tingkatan 6 dan Matrikulasi sepenuhnya bermula tahun depan
- Langkah ini menjadikan pelajar Tingkatan 6 dan Matrikulasi secara rasmi sebagai pelajar pendidikan tinggi
- Kerajaan menangani isu kontroversi peluang kemasukan ke kursus pilihan bagi pelajar minoriti cemerlang dengan menambah 1,500 tempat baharu dalam kursus popular
- Universiti bersetuju menambah tempat dalam bidang seperti undang-undang, perakaunan, kecerdasan buatan, dan sains komputer
- Pelajar Asasi dan Matrikulasi diberi keutamaan dalam kemasukan universiti, dengan jaminan sama diberikan kepada pelajar Tingkatan 6 STPM dengan prestasi tinggi